Penerima BSH Golongan B40 Boleh Semak Kelayakan Subsidi Petrol

Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR | Sejumlah 2.9 juta penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) daripada kumpulan B40 yang layak untuk Program Subsidi Petrol (PSP) boleh menyemak kelayakan mereka melalui portal psp.kpdnhep.gov.my. portal bermula semalam, lapor Bernama.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata mereka yang namanya tidak tersenarai boleh mengemukakan rayuan di portal itu.

Beliau berkata data penerima PSP dari kumpulan B40 adalah berdasarkan kepada data asas penerima BSH yang diperoleh dari Kementerian Kewangan dan diperiksa dengan data pemilikan kenderaan dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Pemeriksaan dilakukan berdasarkan kriteria pemilikan kenderaan yang memenuhi syarat untuk bantuan PSP. Sebagai hasil daripada pemeriksaan balas ini, kementerian telah mengenal pasti 2.9 juta penerima PSP dari kumpulan B40 yang layak untuk subsidi tersebut.

“Namun, saya ingin menekankan bahawa data ini masih memerlukan penambahbaikan dan merayu kepada pengguna dalam kategori B40 untuk menyemak status mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata jika terdapat mereka yang berasal dari kumpulan yang layak untuk BSH dan kenderaan yang dimiliki seperti yang ditetapkan dalam kriteria PSP tetapi masih belum mendaftar dengan BSH, mereka diminta untuk segera mendaftar dengan program BSH dengan Kementerian Kewangan.

“Sekiranya anda adalah penerima BSH tetapi baru membeli kenderaan yang memenuhi syarat yang ditetapkan, sila daftar kenderaan anda dengan JPJ dan membuat permohonan baru di portal PSP,” katanya.

Beliau bagaimanapun mengingatkan bahawa pemeriksaan status ini masih belum termasuk kumpulan yang tidak menerima BSH yang diumumkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam ucapan Belanjawan 2020.

“Proses dan tarikh permohonan baru bagi penerima PSP dari kumpulan yang tidak menerima BSH akan diumumkan setelah butiran pelaksanaannya diteliti bersama-sama dengan Kementerian Kewangan,” katanya.

Sebarang pertanyaan boleh dibuat terus ke hotline 1800886800, e-mel: psp@kpdnhep.gov.my atau melalui WhatsApp di nombor 019-2786356.