Tindakan Kompaun Jika Memancing di Taman Tasik Taiping

Reading Time: < 1 minute

TAIPING | Majlis Perbandaran Taiping (MPT) memberi amaran tindakan tegas termasuk kompaun akan dikenakan kepada mana-mana pihak yang memancing dan menjala di kawasan kolam di Taman Tasik Taiping di sini, lapor Bernama.

Ketua Bahagian Korporat, Perhubungan Awam dan Pelancongan MPT, Hanim Ramly berkata tindakan itu diambil mengikut perkara 3 Undang-Undang Kecil Taman 1986 yang menyatakan bahawa adalah menjadi kesalahan memancing di dalam kawasan Taman Tasik Taiping.

Di bawah peraturan itu, peralatan memancing akan dirampas serta kadar kompaun untuk tuntutan semula rampasan adalah dari RM50 hingga ke RM250 dan setakat ini kira-kira 30 tangkapan telah dibuat.

“Sebahagian besar mereka yang ditangkap tidak menuntut kembali pancing dan jala terutama yang melibatkan kompaun tinggi,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Unit penguatkuasa MPT sentiasa membuat pemantauan dan akan mengambil tindakan terhadap mereka yang didapati memancing serta menjala ikan di kawasan taman itu.

Terdapat 10 kolam kecil di Taman Tasik Taiping yang merupakan taman tasik tertua di Malaysia. Taman Tasik ini pada asalnya merupakan tapak perlombongan bijih timah yang terbiar sehingga dijadikan taman awam pada tahun 1880.