Pengguna Internet di China Mesti Melepasi Pengecaman Wajah Sebelum Dibenar Layari Internet

Reading Time: < 1 minute

China bergerak selangkah ke hadapan dalam meningkatkan penapisan internetnya dengan memerlukan warga negaranya lulus ujian pengecaman wajah untuk menggunakan perkhidmatan web.

Mereka yang ingin memasang internet di rumah atau di telefon dimestikan wajah mereka diimbas oleh pihak berkuasa China untuk membuktikan identiti mereka, mengikut peraturan baru itu.

Peraturan itu, yang akan berkuatkuasa pada 1 Disember, dikatakan sebagai sebahagian daripada sistem kredit sosial yang menilai rakyat China berdasarkan tingkah laku harian mereka.

Pada masa ini, warga negara China perlu menunjukkan kad pengenalan semasa memohon talian tetap atau internet.

Ujian pengecaman wajah ditetapkan untuk mengesahkan bahawa kad pengenalan adalah kepunyaan pemohon.

Arahan itu dikeluarkan oleh Kementerian Industri dan Teknologi China pada akhir bulan lepas. Kementerian mendakwa langkah itu akan membantu meningkatkan keselamatan internet negara dan memerangi keganasan.

Warga negaranya juga diharamkan daripada menjual semula kad SIM mereka untuk menghalang pengguna yang tidak berdaftar membuat panggilan dari telefon bimbit.

Dengan itu, China telah membina sistem pengawasan pengecaman wajah terbesar di dunia.

Kaedah ala Big-Brother itu dibantu oleh ratusan juta kamera pintar jalanan bertujuan untuk mengenal pasti mana-mana individu warga negara dalam masa tiga saat.

Sejumlah 1.4 bilion penduduk negara itu berada di bawah pengawasan lebih 600 juta paparan CCTV – kebanyakannya mempunyai fungsi pengecaman wajah – seawal tahun depan, menurut satu kajian yang diperolehi baru-baru ini.

Ia bersamaan dengan satu kamera untuk setiap dua orang.

Kota yang paling banyak diuji di China, Chongqing, dilengkapi dengan lebih daripada 2.5 juta kamera jalanan, atau satu untuk setiap enam orang.

Bagaimanapun, pengkritik menyuarakan kebimbangan mengenai sistem itu, dengan mendakwa ia merupakan satu cara bagi kerajaan menceroboh privasi warga negara dan menyekat kebebasan mereka.

Ramai juga telah membandingkannya dengan sistem dystopian yang dikendalikan oleh seorang pemimpin negeri fiksyen, Big Brother, dalam novel terkenal George Orwell ‘Nineteen Eighty-Four’