PM Jamin Tadbir Negara Mengikut ‘Rule Of Law’

PM Jamin Tadbir Negara Mengikut ‘Rule Of Law’

PETALING JAYA, 4 Okt — Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini memberi jaminan kepada rakyat bahawa kerajaan akan mentadbir negara ini mengikut peraturan undang-undang dan bukan menurut beliau, yang berlandaskan undang-undang zalim seperti pentadbiran sebelum ini.

Perdana Menteri berkata, rakyat akan berasa selamat apabila kerajaan yang memerintah negara ini mengikut peraturan undang-undang.

“Undang-undang yang zalim menjadikan rakyat berasa amat tidak selamat kerana mereka boleh ditangkap dan ditahan tanpa perlu dibawa ke mahkamah undang-undang. Walaupun mereka (pentadbiran sebelum ini) menghapuskan undang-undang berkenaan, namun mereka gantikan dengan undang-undang lapuk yang lain.

“Namun kerajaan baharu akan memansuhkan undang-undang itu dan memperkenalkan undang-undang baharu. Malaysia perlu mempunyai undang-undang yang baik dan bukan undang-undang yang zalim,” katanya semasa berucap pada pelancaran Persidangan Perlembagaan dan Peraturan Perundangan LAWASIA, yang pertama di sini.

Yang turut hadir ialah Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dan Presiden Majlis Peguam, Datuk Abdul Fareed Abdul Gafoor.

— BERNAMA

Kongsi Artikel Ini

Facebook Comments