Kilang Salah Guna Logo Halal Diserbu

Reading Time: < 1 minute

IPOH, 3 Okt — Sebuah kilang pembuatan makanan ringan diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) semalam kerana menggunakan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tanpa kelulusan di Kawasan Perindustrian Pengkalan, Lahat di sini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP negeri V. Ravichandran, berkata, dalam serbuan pada 12 tengah hari itu, kilang berkenaan juga didapati menyimpan barangan kawalan seperti gula, tepung gandum dan minyak masak tanpa Permit Menyimpan Barang Kawalan Berjadual.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya menyita 401 bungkusan makanan ringan, 360 kotak dan 91 plastik pembungkus yang mempunyai logo halal berkenaan.

Katanya, sebanyak 1,450 kilogram (kg) gula, 1,125kg tepung gandum, 1,054kg minyak masak dan 434kg Gas Petroleum Cecair (LPG) dengan nilai keseluruhan RM41,646 turut disita.

“Berdasarkan semakan ke atas kilang berkenaan didapati terdapat dua syarikat berdaftar di alamat sama dan kedua-duanya menggunakan logo halal pada setiap makanan ringan keluaran mereka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kilang tersebut, di sini hari ini.

Ravichandran berkata salah satu syarikat mempunyai pensijilan halal namun telah tamat tempoh pada 31 Dis 2016, manakala sebuah lagi tidak pernah mempunyai pensijilan halal.

Katanya, kilang tersebut telah melakukan tiga kesalahan iaitu dua kes di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 dan satu kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Pemilik premis yang berumur 61 tahun itu, katanya, telah ditahan bagi membantu siasatan dan pihaknya juga sedang mengesan pembeli barangan dari premis berkenaan di peringkat runcit untuk tindakan selanjutnya.

Ravichandran turut memaklumkan bagi tempoh Januari hingga bulan ini, KPDNHEP Perak telah merekodkan 15 kes dengan nilai rampasan berjumlah RM33,987 yang melibatkan isu halal.

“Bagi kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 untuk tempoh yang sama kami telah mencatatkan 46 kes dengan nilai rampasan sebanyak RM174,302,” katanya.

— BERNAMA