Perak Akan Tambah Dana Perubatan Warga Emas Tahun Depan

Reading Time: 2 minutes

BERUAS | Kerajaan Perak akan memperuntukkan lebih banyak dana untuk bantuan rawatan perubatan kepada warga emas di negeri ini, dari RM50,000 kepada RM100,000 pada tahun hadapan.

Peruntukan yang akan disalurkan melalui Hospital Pakar Komuniti Perak (PCSH) itu diharap akan membantu mengurangkan beban lebih ramai golongan warga emas yang memerlukan.   

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Sosial, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Perak, Wong May Ing, memandangkan PCSH telah memulakan usaha yang begitu mesra rakyat, kerajaan Perak telahpun memperuntukkan RM50 ribu untuk dijadikan peruntukan khas kepada Dana Perubatan Warga Emas Perak pada bulan Oktober lalu.

Dana tersebut merupakan tambahan dan gabungan kepada dana perubatan yang kini dikendali PCSH. Tetapi apa yang berbeza adalah dana perubatan (RM50 ribu) tersebut tertakluk bawah pertimbangan Kerajaan Negeri dan dana tersebut dituju khas kepada golongan warga emas.

Sehingga hari ini, RM50,000 ini telah dihabiskan sebagai sumbangan kepada pesakit-pesakit yang berumur 60 tahun ke atas dan kurang bermampuan membayar kos rawatan.

“Memandangkan dana ini mendapat sambutan yang besar dalam masyarakat, usaha ini akan diteruskan dan peruntukan akan ditambahkan lagi sebanyak RM50 ribu. ”

“Hal ini bermakna, Kerajaan Perak akan memperuntukkan jumlah RM100 ribu untuk membantu golongan warga emas. “

“Kriteria kelayakan penerima dana perubatan bagi warga emas itu adalah mereka yang berusia 60 tahun ke atas, menetap di Perak lebih sepuluh tahun serta berpendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,000,” katanya ketika berucap pada program Hari Kesihatan Keluarga 4.0 di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Ayer Tawar, di sini hari ini.

Program itu merupakan anjuran kerajaan negeri dan PCSH bertujuan untuk meringankan beban melalui penyediaan pemeriksaan kesihatan percuma.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri dengan PCSH telah membantu lebih 50 warga emas untuk mendapatkan rawatan perubatan pelbagai jenis penyakit di hospital berkenaan, sejak Oktober lalu.

Wong May Ing dalam pada itu  mengalu-alukan lebih banyak pihak swasta seperti PCSH dapat mengadakan kerjasama bersama Kerajaan agar agenda kerajaan membantu rakyat dan membangunkan wanita, keluarga dan masyarakat akan terus diperkasakan.