Perak Bakal Jadi Hub Industri Buluh Negara

Reading Time: 2 minutes

IPOH | Selain inudstri pembalakan yang memberi pulangan lumayan kepada pendapatan negeri, Perak juga memiliki potensi besar dalam industri buluh jika usaha memajukan lebih giat dilakukan.

Melihat kepada potensi itu, kerajaan negeri telah mendapatkan khidmat nasihat dan perbincangan dengan pihak Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dengan Invest Perak untuk membuka ruang meningkatkan industri buluh di negeri ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, negeri Perak telah dipilih sebagai salah satu hub industri buluh di negara ini di samping Pahang dan Kelantan. Perkara ini diumumkan oleh Menteri Industri Utama, Teresa Kok ketika Persidangan Perniagaan Antarabangsa: Buluh Sebagai Pemacu Pertumbuhan Hutan Selain Kayu di Kuala Lumpur tiga minggu lepas.

Industri kayu terutamanya buluh boleh menghasilkan produk seperti perabot dan barangan kemasan rumah. Malah buluh boleh dijadikan sebagai bahan asas dalam sistem pembinaan industri (Industrialised Building System atau IBS) iaitu merujuk kepada teknik pembinaan di mana komponen dihasilkan dalam persekitaran terkawal – sama ada di tapak atau luar tapak, dipasang ke dalam kerja pembinaan.

Beliau merujuk kepada janji kerajaan negeri mahu membina 50 ribu buha rumah mampu milik untuk rakyat negeri Perak di mana jika ia diadaptasi boleh membantu menjimatkan masa dan kos pembinaan.

“Kalau kita gunakan sistem konvensional iaitu besi (konkrit) dan simen, ia akan memakan masa yang lama dan kos pula tinggi.

“Dengan adanya khidmat nasihat dari MTIB maka kerajaan negeri akan membenarkan bahan mentah ini digunakan untuk membuat komposit yang menghasilkan alatan dan perkakas yang menggunakan kayu,” kata Nizar kepada pemberita di sidang media di Bangunan Darul Ridzuan hari ini.

Menurutnya lagi, kerajaan mahu mewujudkan suatu industri dari kayu dan buluh bukan semata-mata menjadi pengeksport kayu balak dengan memotong pokok dan menjualnya begitu sahaja.

“Kita tidak lagi hanya mahu menjual balak, potong dan jual balak … itu tidak lagi. Itu harus dihentikan.

“Kita nak jadikan produk separuh (siap) atau produk sepenuhnya, itu lebih banyak mendatangkan nilai pasaran,” katanya.

Katanya lagi, kerajaan negeri turut mengalu-alukan mana-mana pihak yang boleh membawa teknik atau teknologi terkini dalam mengembangkan industri buluh.  

Turut bersama dalam sidang media ini ialah Ketua Pengarah MTIB, Mohd Kheiruddin Mohd Rani, Ketua Eksekutif Invest Perak, Sayed Shariffuddin bin Sayed Shamshuddin, sebagai kordinator, Ketua Jawatankuasa Kerja Invest Perak, Clarence Cheah dan Pengarah Teknikal Rimba Jungle Adventures, Ir. Ahmad Mazlan bin Osman. Kedua-duanya bertindak memberi khidmat nasihat dan berkongsi kepakaran mereka dalam industri buluh. 

Dalam sidang media yang sama, Dato’ Seri Nizar turut mengumumkan pada 14 hingga 17 November ini akan berlangsung Perak International Expo di Stadium Indera Mulia, Ipoh.