Perang Poster Dan Sepanduk Pilihan Raya Dicadang Dihapuskan

Reading Time: 2 minutes

Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem & Undang-undang Pilihan Raya (ERC) mencadangkan agar kerajaan menghapuskan sepanduk dan poster untuk kempen pilihan raya kerana kosnya yang begitu tinggi.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata ia membebankan calon-calon dan parti-parti untuk bersaing di pilihan raya. Beliau turut menambah bahawa kempen berbentuk poster dan sepanduk adalah amalan yang telah lapok.

“Kita perlu menghapuskan semua ini. Kita adalah satu-satunya negara di kalangan negara membangun yang masih menggunakan sepanduk dan poster semasa pilihan raya.
 
“Kami akan mengesyorkan bahawa pada masa akan datang, tiada lagi perang poster,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program Libat Urus Pembaharuan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya Peringkat Negeri Perak yang diadakan di kediaman rasmi (lama) Menteri Besar di Ipoh hari ini.

Abdul Rashid juga berkata bahawa poster dan sepanduk mendatangkan masalah tambahan disebabkan lokasi menempatkan mereka dan mengulangi bahawa amalan itu tidak lagi wujud di negara maju.

Ditanya bagaimana kesan ketiadaan poster dan sepanduk di kawasan-kawasan luar bandar yang sukar mendapat maklumat dan tidak mempunyai akses yang mencukupi tentang seseorang calon, beliau berkata jawatankuasa itu akan mencadangkan pengecualian dibuat untuk kawasan luar bandar.

Apabila ditanya sama ada cadangan itu boleh diperkenalkan pada pilihan raya negeri Sarawak yang dijangka diadakan pada 2021, beliau berkata beliau tidak dapat memberi jaminan.

ERC akan menyerahkan laporan interimnya mengenai pembaharuan dan cadangan yang dikumpulkan daripada pihak berkepentingan kepada kerajaan selepas penglibatan terakhirnya di Sarawak bulan ini, katanya.

“Setelah mengkaji laporan interim dengan ahli ERC, kami akan menyediakan laporan khas yang akan dikemukakan kepada kerajaan pada September depan,” katanya.