Keangkuhan Koon Yew Yin

Keangkuhan Koon Yew Yin

Keangkuhan dan kesombongan seorang manusia bernama Koon Yew Yin tidak dapat digambarkan dalam kehidupan bernegara di Malaysia. Seorang yang kaya raya bermula sebagai Jurutera di PWD (JKR), kemudian membina empayar peniagaan sebagai pemain saham yang aktif, dan pemilik sektor hartanah dan lain-lain, kesemuanya bermula di atas tanah yang dipanggil negara Persekutuan Tanah Melayu (Federated of Malay States) dan kemudian dikenali sebagai Malaysia.

Orang inilah kini menganggap bangsa Melayu yang berada dalam sektor perkhidmatan awam, tentera dan guru sebagai golongan yang dipenuhi oleh mereka bermutu rendah (mediocre) dan tidak ada kelas untuk mentadbir sebuah negara dan negeri.

Di Perak beliau mencipta pelbagai kontroversi dengan memandang rendah kerajaan yang dipimpin oleh UMNO. Beliau secara terang-terangan membantu dari sumber kewangannya yang berlimpah kepada pihak DAP dan PH untuk menjatuhkan kerajaan yang dipimpin oleh UMNO/BN.

Beliau dilantik oleh kerajaan PH Perak sebagai penasihat Ekonomi selepas PRU 14. Tetapi oleh kerana sentiasa memikirkan bahawa dirinya sahaja yang terbaik jawatan beliau ditarik balik. Namun beliau tidak berpuas hati dan cuba mengaitkannya dengan istana, serta membuat tuduhan terhadap almarhum Sultan Azlan bahawa perlu membayar kepada istana untuk mendapat anugerah pingat.

DAP sentiasa menyanjung beliau sebagai pejuang tegar bersama mereka yang mahu menukar pemerintahan kerajaan BN. Dalam posting FB nya 25 Jun 2018, beliau begitu kecewa Nga tidak dilantik sebagai Menteri. Begitu juga pada 2 Julai, 2018, beliau mempertahankan tindakan Guan Eng mengeluarkan kenyataan dalam Bahasa Mandarin.

Malah beliau turut seolah-olah memperkecilkan kebolehannya bertutur dalam Bahasa Melayu. Ketika bekerja sebagai Jurutera di PWD (JKR) dalam tahun 1960 beliau disuruh belajar Melayu dan mendapati terlalu sukar untuk menterjemah “Fire,fire, call the fire brigade” dan sukar untuk menterjemah ke bahasa Melayu, dengan menterjemahkannya “api, api, panggil api kereta”.

Beliau pernah menganggap negeri Perak sebagai negeri kedua termiskin kerana dipimpin oleh pemimpin-pemimpin UMNO/BN. Meskipun Khazanah Research menafikan analisis tersebut, beliau tidak pedulikannya kerana matlamatnya untuk melihat pertukaran kerajaan, dan kebenciannya yang menebal. Beliau bersama dengan gerakan DAP Perak sepanjang sebelum PRU 14 menyebarkan segala keburukan ini.

Ia mencetuskan sikap sombong tahap tinggi yang begitu angkuh dengan kedudukan kuasa dan kekayaan. Inilah refleksi sikap tinggi diri (superiority complex) yang ada dalam dirinya dengan memandang bahawa dia dan kumpulannya lebih hebat daripada kumpulan dan bangsa lain yang berada tanahair ini.

Ia menggambarkan bagaimana suatu bangsa yang menganggap keagungan budaya (cultural supremacy) nya dengan memandang budaya kehidupan bangsa lain hina dan rendah. Kononnya mereka lebih rajin, manakala Melayu adalah pemalas, mereka lebih bijak, manakala Melayu adalah dungu, mereka lebih berkeusahawanan, manakala Melayu hanya menadah bantuan.

Inilah yang dicanangkan sekian lama seperti yang disebut dalam The Myth of the Lazy Natives, oleh Prof Syed Hussien al-Attas, bagaimana minda terjajah dimainkan oleh penjajah terhadap pribumi Melayu dan Jawa. Oleh kerana Melayu tidak mahu berada dalam genggaman kapitalisme penjajah, maka dibiarkan Melayu bekerja sebagai nelayan dan petani. Kemudian dibiarkan Melayu tinggal di kampung-kampung sambil menyebut mereka malas.

Koon Yew Yin begitu berani ke hadapan dengan merobekkan lagi imej orang Melayu kerana selama ini keceluparannya tidak dipedulikan oleh sesiapa. Dia merasakan dalam dunia Malaysia Baru ini, dia lebih bebas untuk berkata apa-apa sahaja terhadap kakitangan awam, tentera dan guru yang majoritinya terdiri dari kalangan Melayu/Bumiputra. Maklumlah antara penerima bantuan kewangan darinya adalah Parti Bersatu Perak sendiri dengan disaksikan oleh Tun M, TS Muhyiddin dan Mukhriz.

Pada 24 Julai, 2019, beliau sekali lagi menghina graduan-graduan Universiti Awam kita sebagai “ low-grade”(kelas bawah). Daripada 20 buah universiti awam, hanya 6 saja yang ada “ranking” dan 14 lagi dianggap gagal. Dengan majoriti bilangannya adalah orang Melayu hasil kepada graduan kelas-bawah ini memberi kesan kepada pembangunan negara.

Beliau menghina golongan penjawat awam yang dengan berani katanya tiada meritokrasi. Ketika beliau menulis tentang kenapa Malaysia masih tidak mencapai status negara maju dengan sombongnya dia menyebut “almost all Malaysian civil servants are Malays. What can we expect when Malaysia is managed by thousands of low-grade graduates? (hampir semua kakitangan awam adalah orang Melayu. Apa yang boleh anda harapkan bila Malaysia ditadbir oleh ribuan graduan kelas-bawah?)

Beliau menghina angkatan tentera Malaysia yang dilihatnya hanya makan minum sahaja dan tak pernah melepaskan peluru di medan perang dan selayaknya mereka dihantar bekerja di sektor perladangan Felda.

Sungguh biadab menghina anggota tentera hingga ke tahap itu. Apakah beliau ingin melihat negara ini berada dalam kekacauan dan peperangan bagi menjustifikasikan kedudukan ketenteraan kita. Apakah beliau akan tinggal dalam negara Malaysia ketika suasana itu berlaku. Apakah beliau akan boleh bermain saham dan mengaut jutaan ringgit bila mahukan anggota kita berada dalam suasana peperangan?

Langsung tidak ada perasaan hormat kepada peranan anggota tentera. Peranan anggota tentera adalah untuk menjaga keamanan negara. Dan sentiasa bersiap sedia menghadapi segala kemungkinan, termasuk bersiap untuk melepaskan peluru kepada musuh.

Apa yang terbit dari tulisan dan luahan Koon Yew Yin adalah gambaran mental golongan seperti beliau yang sentiasa memandang rendah terhadap orang lain.

Selepas ini mungkin dengan mudah beliau akan memohon maaf kepada rakyat Malaysia, kakitangan awam dan tentera. Itulah jalan mudahnya. Tetapi bagi sesiapa yang mengikuti tulisan beliau, akan dapat membuat kesimpulan tentang proses kebencian yang dibina dan tersemat sekian lama dalam jiwanya.

Dr Zambry Abd Kadir
14 Ogos 2019

Kongsi Artikel Ini

Facebook Comments