Perbanyak Pam Bergerak Atasi ‘Banjir Termenung’

Reading Time: 2 minutes

IPOH | Banjir kilat, sering kali membelenggu ramai penduduk setiap kali tibanya musim tengkujuh dan fenomena itu, yang berlaku dalam masa yang singkat iaitu dalam tempoh beberapa jam sahaja menyebabkan air bertakung dan menenggelami kawasan persekitaran.

Ada banjir kilat di sesetengah kawasan yang mudah surut namun beberapa kawasan di Perak, banjir itu lambat pulih sehingga menyebabkan ‘banjir termenung’, iaitu keadaan air yang tidak dapat mengalir keluar dengan baik ke dalam saliran dan bertakung untuk satu tempoh yang lama.

Sehubungan itu, Naib Pengerusi 1, Perkongsian Air Malaysia (MyWP), Datuk Hanapi Mohamad Noor mengesyorkan pihak berwajib menyediakan lebih banyak pam bergerak bagi mengepam keluar air, seterusnya menyelesaikan masalah ‘banjir termenung’, katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Hanapi berkata satu kawasan khas juga perlu diwujudkan berhampiran kawasan banjir untuk dijadikan tempat pembuangan air yang dipam keluar supaya tidak melibatkan penempatan penduduk.

Antara kawasan yang berdepan ‘banjir termenung’ di Perak adalah daerah Kerian apabila seramai 277 penduduk masih berada di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dengan satu daripada pusat itu di Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Jong, Bagan Serai yang dibuka sejak 21 Okt lepas.

Turut menghadapi masalah sama adalah daerah Hilir Perak apabila seramai 226 berada di PPS SK Changkat Jong, Teluk Intan yang dibuka semula pada 26 Okt selepas ditutup hanya dua hari.

Dalam pada itu, Hanapi turut menyarankan pengendali empangan di Perak untuk melepaskan air secara berperingkat sekiranya berlebihan bagi mengelak berlakunya banjir, susulan kenaikan paras sungai.

“Air perlu dilepaskan apabila paras air semakin meningkat bagi menjaga keselamatan empangan, namun sekiranya pihak pengurusan empangan boleh meramal, pelepasan air boleh dilepaskan lebih awal secara berperingkat supaya tidak berlaku impak banjir yang lebih serius,” katanya.

Terdapat beberapa empangan di Perak antaranya Empangan Air Kuning yang membekalkan air mentah ke Loji Rawatan Air Kuning bagi kegunaan penduduk sekitar Taiping, manakala Empangan Sultan Azlan Shah membekalkan air kepada penduduk di daerah Kinta dan Kampar.

Empangan Bukit Merah pula menjadi sumber air tanaman sawah padi di daerah Kerian selain membekalkan air minuman kepada penduduk serta keperluan industri di Kamunting, Taiping, manakala Empangan Chenderoh adalah empangan hidroelektrik dan stesen kuasa hidroelektrik.

— BERNAMA