Padah Memiliki Haiwan Dilindungi, Didenda Lima Ribu Ringgit

Reading Time: < 1 minute

KUALA KANGSAR | Tindakan seorang penoreh getah yang memiliki seekor burung murai batu dan 94 duri landak raya membawa padah apabila dia didenda RM5,000 atau 10 bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Rohaida Ishak menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Dzulfadzli Majid, 39, selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan memiliki burung dan duri landak berkenaan.

Bagi pertuduhan memiliki burung murai batu, lelaki itu didenda RM3,000 atau enam bulan penjara, manakala pertuduhan memiliki duri landak, dia didenda RM2,000 atau empat bulan penjara.

Mohd Dzulfadzli membayar kesemua denda itu.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Dzulfadzli didakwa memiliki seekor burung murai batu (copsychus malabaricus) tidak matang iaitu hidupan liar yang dilindungi di bawah Jadual Pertama, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Dia didakwa mengikut Seksyen 61 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Pertuduhan kedua pula, Mohd Dzulfadzli didakwa memiliki 94 duri landak raya (hyastrix brachyura) yang juga tersenarai dalam jadual pertama Akta 716, mengikut Seksyen 60(1)(b) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di sebuah premis di Kampung Bongor, Gerik pada pukul 4 petang, 17 Nov 2017.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (PERHILITAN), Norfadillah Abd Latif manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

— BERNAMA