Perikatan Nasional Perak Dapat Sokongan Majoriti

Reading Time: 2 minutes

IPOH | Setelah dua minggu berteka-teki tentang kedudukan kerajaan negeri Perak, hari ini segalanya terjawab dengan pengumuman khas yang dibuat oleh Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu di sebuah hotel di Meru, Ipoh pagi ini.

Perikatan Nasional akan membentuk kerajaan negeri yang baru setelah mendapat sokongan dari 32 ADUN yang terdiri dari UMNO (25), PAS (3) dan PPBM (4).

PPBM yang sebelum ini diwakili oleh Ahmad Faizal sebagai ADUN Chenderiang dan Zainol Fadzi (ADUN Sungai Manik) menerima penyertaan terbaru dari ADUN Kuala Kurau iaitu Yunus Jamahri dan ADUN Tualang Sekah Nolee Ashilin.

“Kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia, UMNO dan PAS negeri Perak telah mencapai satu persetujuan untuk membentuk sebuah gabungan baru.

“Kita alu-alukan dua lagi ADUN yang telah menyertai Bersatu iaitu ADUN Kuala Kurau Dato’ Yunus Jamahri dan ADUN Tualang Sekah, Dato’ Nolee Ashilin.

“Kita semua sedia maklum gabungan ini turut melibatkan kesemua 25 ADUN daripada UMNO dan tiga ADUN daripada PAS.

“Dengan gabungan ketiga-tiga parti maka Perikatan Nasional negeri Perak akan dapat menubuhkan kerajaan negeri Perak yang baru dengan jumlah majoriti 32 ADUN,” kata Ahmad Faizal.

Beliau seterusnya berkata dengan tertubuhnya kerajaan negeri yang baru ini akan membentuk kerajaan negeri yang stabil dan dapat menjalin kerjasama yang erat dengan kerajaan Perikatan Nasional di peringkat persekutuan bagi meneruskan agenda pembangunan dan membela rakyat negeri Perak.

Ditanya berkenaan keputusan beralih kepada Perikatan Nasional, beliau berkata ia adalah selari dengan pendirian PPBM di peringkat pusat. Tambahnya, kerajaan Pakatan Harapan yang beliau bimbing sebelum ini tidak benar-benar stabil di mana ia bukan lagi menjadi rahsia apabila beberapa daripada

“Jika orang seperti saya dikatakan pengkhianat yang membelot mandat daripada rakyat, tapi kita tidak harus lupa anggota Exco yang sepatutnya menjalankan tanggungjawab dan amanah kepada rakyat tetapi sibuk kepada (menjalankan) usaha untuk menjatuhkan Menteri Besar dan kerajaan mereka sendiri.

“Jadi pengkhianatan bermula dari sana,” ujarnya.

Katanya lagi gabungan PN negeri mampu memberi khidmat yang lebih baik kepada rakyat dan lebih stabil dengan sokongan dari kerajaan di peringkat persekutuan.

Ketiga-tiga parti akan menghantar satu nama sebagai calon menteri besar dan akan dipersembahkan kepada Sultan Perak dalam masa terdekat.

Turut hadir dalam sidang media ialah bekas menteri besar Perak Dr. Zambry Kadir, Pengerusi UMNO Perak Saarani Mohamad serta hampir kesemua ADUN UMNO negeri Perak, ketiga-tiga ADUN PAS iaitu Hj Razman Zakaria, Mohd Akmal Kamaruddin dan Khalil Yahya, ADUN Kuala Kurau Yunus Jamahri dan ADUN Tualang Sekah Nolee Ashilin.