Perkongsian ITC & MYBHA Pacu Tawaran Penginapan Mesra Muslim Malaysia

Reading Time: 2 minutes

SERI KEMBANGAN, 28 Jun 24 – Dalam langkah penting untuk memperkukuhkan sektor pelancongan dan hospitaliti mesra Muslim di Malaysia, Islamic Tourism Centre (ITC) dan Persatuan Hotel Bajet & Bisnes Malaysia (MyBHA) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk meningkatkan tawaran penginapan mesra Muslim di seluruh negara.

MoU ini menggariskan komitmen ITC untuk menyediakan latihan menyeluruh mengenai Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim (Muslim-Friendly Tourism and Hospitality – MFTH) kepada ahli MyBHA. Inisiatif ini bertujuan untuk membimbing ahli MyBHA untuk mendapatkan Muslim-Friendly Tourism and Hospitality Assurance and Recognition (MFAR) daripada ITC. Pengiktirafan ini akan mengesahkan komitmen mereka untuk memenuhi keperluan unik pelancong Muslim, sekali gus memupuk persekitaran pelancongan yang lebih inklusif dan mesra di Malaysia.

En. Nizran Noordin, Ketua Pengarah ITC, menyatakan: “Kerjasama ini menandakan langkah penting dalam mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim terkemuka. Dengan membekalkan ahli MyBHA dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan melalui latihan MFTH kami, kami berhasrat memastikan pelancong Muslim berasa selesa sepanjang penginapan mereka di Malaysia.”

MyBHA, yang mewakili kira-kira 2,700 hotel bajet dan bisnes di seluruh Malaysia, berada dalam kedudukan yang baik untuk mendapat manfaat daripada kerjasama ini. Daripada jumlah ini, sekitar 236 ahli MyBHA sudah berdaftar dan mendapat penggredan dari Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, sekali gus memenuhi kriteria asas untuk pendaftaran MFAR. Pematuhan sedia ada ini menjadikan mereka calon ideal untuk latihan dan pengiktirafan lanjut dalam sektor mesra Muslim.

Dr. Sri Ganesh Michiel, Presiden Nasional MyBHA, menyatakan, “Persatuan kami berdedikasi untuk meningkatkan kualiti dan inclusivity perkhidmatan penginapan di Malaysia. MoU ini dengan ITC bukan sahaja memberikan peluang kepada ahli kami untuk meningkatkan standard (piawaian) mereka dan kekal relevan di pasaran, tetapi juga selaras dengan matlamat kami untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi pelancong Muslim.”

Sesi latihan akan merangkumi pelbagai aspek hospitaliti mesra Muslim, termasuk perkhidmatan makanan Halal, kemudahan solat, dan kemudahan lain yang memenuhi keperluan tetamu Muslim. Inisiatif ini dijangka akan meningkatkan daya tarikan hotel ahli MyBHA kepada pelancong Muslim, baik di dalam dan di luar negara.

Majlis menandatangani memorandum ini, yang diadakan di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines (Mines International Exhibition and Convention Centre – MIECC) semasa Malaysia Halal Exposia, dihadiri oleh wakil-wakil dari kedua-dua organisasi dan menandakan permulaan usaha
kerjasama untuk meningkatkan ekosistem hospitaliti mesra Muslim di Malaysia. Kerjasama ini dijangka memainkan peranan penting dalam menyokong matlamat Malaysia untuk menjadi Hab Transit Umrah bagi rantau ini dan Tahun Melawat Malaysia 2026.