‘Pertemuan Tanpa Dirancang Dengan Dato Seri’

Reading Time: 3 minutes

CORETAN | Aku baru selesai hadiri majlis iftar anjuran Tourism Perak di sebuah restoran terkenal di Ipoh.

Aku dan rakan media dah berjanji hendak pergi berjumpa dengan seseorang di restoran yang lain pula.

Sampai di restoran itu, aku lihat sosok tubuh yang menunggu kedatangan aku dan rakanku sedang duduk berseorangan sambil ditemani segelas teh o ais di atas meja.

Aku sapa dan mengajaknya berpindah tempat duduk masuk ke dalam lagi.

Kami berbual rancak ibarat sahabat karib yang lama tak berjumpa.

Tidak sedar sudah lebih sejam kami berbual. Kemudian terlihat satu sosok tubuh yang sangat biasa aku lihat tidak berapa lama dahulu sedang berjalan masuk ke dalam restoran dan lalu di hadapan kami. Sosok itu berkulit agak gelap, memakai baju Melayu kelabu dengan kain serta kopiah seperti baru usai solat terawih. Aku lihat jam memang sudah lebih pukul 10 malam. Aku sangat pasti sosok ini baru selesai mengerjakan terawih di masjid berhampiran.

Dia lalu sambil melihat ke arah kami dan tersenyum sambil melambaikan tangannya.

Jelas sosok itu memang sangat ku kenal. Dahulu, aku biasa membuat liputan berita tentangnya. Orang lebih gemar memanggilnya dengan panggilan Dato Seri.

Sambil Dato Seri ini berjalan menuju ke kerusi di mana telah ada beberapa sosok lain sedang menunggunya, dia menegur kami dan bertanya kami dari mana dan apa buat di sini.

Aku menjawab kami baru balik dari majlis berbuka puasa. Sosok itu duduk dan kami sahut menyahut di antara meja kami dan mejanya yang jaraknya hanya beberapa kaki.

Kemudian kami teruskan perbualan sesama kami. Dato Seri itu juga berbual dengan sahabatnya. Tiba² Dato Seri ini kembali berbicara sahut menyahut dengan kami kemudian meminta aku serahkan bil makan minum yang telah siap ditulis oleh tukang ambil pesanan tadi. Kata Dato Seri, dia nak belanja. Aku pun ambil bil dan kemudian bangun menuju ke arahnya lalu serahkan bil tersebut kepadanya. Aku tidak lupa ucapkan terima kasih kerana belanja kami.

Kami tidak makan yang berat-berat. Cuma sekeping capati seorang. Cuma kami pesan air minum lebih dari segelas seorang. Aku sampai tiga gelas. Maklum saja aku sudah berhenti merokok sejak lebih setahun yang lalu.

Kami baru lepas makan besar berbuka bersama penganjur acara iftar di 2 tempat. Pertama di Kediaman Lama Menteri Besar bersama Armada Perak. Selesai iftar di sana, kami bergegas ke restoran terkenal di Ipoh untuk menghadiri program iftar anjuran Tourism Perak. Kami sampai di sana sudah lewat. Hanya tinggal air minum. Namun bukan makanan yang kami cari. Cuma mahu mencari bahan berita. Iftar bersama Tourism Perak turut dimeriahkan oleh Yang Berhormat Tan Kar Hing EXCO Pelancongan dan Kebudayaan serta pelajar-pelajar tahfiz.

Kembali kepada kisah bekas sosok Dato Seri tadi. Aku melihat fizikalnya sudah ada sedikit perubahan dari dahulu. Kalau dahulu, bila berjalan nampak gagah perkasa dan bergaya, sekarang tubuhnya nampak susut dan berjalan perlahan dan sangat tenang berbanding dahulu. Uban di kumis dan jambangnya juga makin ketara. Sosok ini kelihatan seperti tidak sihat. Aku cuma mengagak. Tidak pasti sama ada tekaan aku betul atau salah. 

Percakapannya agak perlahan. Raut wajahnya nampak seperti sedang bersedih. Seolah-olah seperti sedang kecewa putus cinta. Tapi aku percaya Dato Seri ini tidaklah bercinta dengan sesiapa kecuali isteri kesayangannya.

Waktu sudah hampir untuk mengundurkan diri, aku dan rakan media aku bangun dan menuju ke arahnya dan bertegur sapa dengan lebih dekat. Aku katakan kepada sosok ini, Dato Seri kalau ada apa² program bolehlah maklumkan kepada kami untuk buat liputan.

Dato’ Seri ini menjawab dia tidak ada program seperti dahulu lagi. Dia seperti sudah tidak bernafsu lagi untuk mengadakan majlis² seperti dahulu. Sosok ini lebih senang berbicara secara santai dengan aku dan rakanku.

Kami berbual sejenak sebelum pemilik restoran mahu menutup premis restorannya. Waktu sudah lewat. Kerusi pun sudah diangkat diletak secara terbalik di atas meja. Itu isyarat nak tutup kedai. Kami faham. Pemilik tidak perlu menghalau kami keluar. Cukup dengan menunjukkan suasana sedemikian. Kami bersalaman dan bermaaf-maafan di bulan yang mulia ini.

Itulah sosok bekas Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Dr Zambry bin Abdul Kadir. Pernah menjadi Menteri Besar Perak selama 9 tahun. Kami bergambar bersama beliau yang masih mampu mengukir senyuman manis. Cuma aku tiada di dalam gambar.