Syed Saddiq Anggap Ku Li Masih Terkejut Dengan Kekalahan PRU14  

Reading Time: 2 minutes

IPOH | Kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah bahawa kemungkinan Pilihan Raya Umum Ke-15 diadakan secara mengejut membuktikan parti itu masih terkejut dengan kekalahan dalam PRU-14.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mengulas perkara itu menganggap kenyataan yang dibuat Tengku Razaleigh semalam sebagai tidak wajar.

Menurut beliau, ini kerana PRU-14 baru setahun diadakan dan masih ada tempoh empat tahun lagi untuk PRU-15 diadakan.

“Saya rasa dia masih terkejut bahawa UMNO tewas pada Pilihan Raya lepas. Saya rasa kita perlu akur kepada pilihan rakyat dan kalau mereka masih terkejut, belajar untuk ‘move on’.

“Kalau sudah jadi pembangkang, jadilah pembangkang yang baik. Pilihan raya lepas baru sampai satu tahun dan kita ada empat tahun lagi, mereka sudah hendak fokus kepada PRU yang baharu,’’ katanya.

Syed Saddiq berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis doa kesyukuran dan berbuka puasa anjuran Armada Bersatu Perak di Laman Seri Ridzuan, Ipoh pada Khamis.

Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan seterusnya berkata, kerajaan tidak boleh hanya memfokuskan kepada PRU sebaliknya perlu mentadbir negara dengan cekap dan berkhidmat kepada rakyat berbilang bangsa dan agama.

“Ketika ini adalah masa untuk ke hadapan setelah rakyat bersuara dalam PRU yang lalu,” katanya.

Semalam, Tengku Razaleigh berkata, UMNO perlu mula bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk berlakunya PRU-15 secara mengejut.

Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang berkata, persediaan tersebut termasuklah berhubung pengagihan kerusi untuk ditandingi yang perlu dibincangkan bersama rakan parti pembangkang iaitu, PAS serta parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain.