Sultan Perak rasmi Masjid Ubudiah Kampung Sumpitan, Lenggong

  •  
  •  
  •  
Reading Time: < 1 minute

LENGGONG, 16 Mei (Bernama) — Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini berkenan merasmikan Masjid Ubudiah Kampung Sumpitan, di sini, selain berbuka puasa bersama penduduk di masjid berkenaan.

Turut mengiringi keberangkatan baginda yang tiba di masjid berkenaan pada pukul 6.50 petang itu ialah Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Hadir sama Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Datuk Mohd Yusop Husin, Orang Besar Jajahan Hulu Perak Datuk Ar LA Meor Roslan Meor Ahmad Rashidi dan Ketua Polis Daerah Gerik Supt Ismail Che Isa.

Masjid yang boleh menampung sehingga 600 jemaah itu dibina dengan kos RM280,000 pada 2008 telah siap sepenuhnya pada 2010.

Para hadirin turut diperdengarkan dengan bacaan ayat suci al-Quran oleh guru Kafa Mohd Safar Samsudin sebelum baginda berbuka puasa dan menunai sembahyang Maghrib bersama penduduk.

Pada majlis itu, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan sumbangan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak sebanyak RM422,500 kepada tujuh penghulu mukim iaitu Lenggong, Temelong, Durian Pipit, Gerik, Kerunai, Kenering dan Pengkalan Hulu yang mewakili 1,690 penduduk.

Pada majlis sama, Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad (TNB), Raja Datuk Abd Jalil Raja Zaid turut menyerahkan replika cek bernilai RM25,000 sebagai zakat fisabillillah bagi pengurusan kepada Pengerusi Masjid Ubudiah, Mohd Suhaimi Tabligh.

— BERNAMA