PH Perak Anggap Keputusan Syed Abu Hussin Keluar UMNO, BN Tepat

Reading Time: 2 minutes

IPOH: PakatanHarapan (PH) Perak menganggap keputusan yang dibuat Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mengisytihar keluar dari UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai langkah tepat.

Menurut Pengerusinya, Ahmad Faizal Azumu, pihaknya juga berharap lebih ramai lagi individu akan mengikut jejak langkah bekas Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang itu. Ditanya sekiranya terdapat sebarang permohonan daripada Syed Abu Hussin atau beberapa individu lain untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Ahmad Faizal berkata, perkara itu akan diserahkan kepada pimpinan tertinggi parti.

“Saya tidak berada di mana-mana keputusan… Tetapi kita merupakan parti yang memperjuangkan segala usaha untuk menyelamatkan negara daripada segala permasalahan yang ada.

“Tetapi, segala keputusan, jika mereka memohon untuk menjadi ahli sekali pun ianya terletak kepada keputusan ahli majlis tertinggi pimpinan parti, sama ada menerima atau menolak permohonan tersebut,” katanya kepada pemberita di Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Lembaga Air Perak di Hotel Casuarina Meru pada Khamis.

Mengenai isu serbuan di Pondok Kadir Al Jaafar, Gua Tempurung, Gopeng malam tadi yang diviralkan dalam media sosial, Menteri Besar mengarahkan semua agensi terlibat supaya memberi laporan lengkap kepada beliau.

Menurut Ahmad Faizal, beliau baru dengar perkara itu hari ini dan mahu tahu apa perkara yang sebenarnya berlaku sebelum membuat komen tambahan.

“Namun, saya pelik kenapa perkara ini boleh berlaku, daripada maklumat yang saya terima ataupun cerita-cerita yang sedang viral di sosial media tu, agak pelik lah bagaimana serbuan itu boleh dibuat dengan cara sedemikian.

“Tetapi sebelum itu, beri saya siasat sedalam-dalamnya dulu, saya akan membuat kenyataan akhbar,” katanya.

Beliau diminta mengulas isu yang viral di media sosial mengenai tindakan serbuan ke atas pondok itu yang dikatakan dilakukan penguatkuasa dari pelbagai agensi kerajaan seperti Pejabat Tanah Kampar, Jabatan Agama Islam Perak, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan polis, malam tadi.

Ditanya mengenai pondok itu dikatakan beroperasi bukan di tanah milik mereka, Ahmad Faizal berkata, masalah itu memang telah jelas dan nyata.

“Dalam masa yang sama, kalau benarlah serbuan dibuat, kemudian buat pemeriksaan urin dengan pelajar-pelajar tu dalam waktu mereka sedang dalam kuliah dan sebagainya, I think that’s a bit too much,” ujarnya.

Bagaimanapun, dalam masa sama, beliau perlu mengetahui terlebih dahulu kenapakah agensi itu melakukan tindakan sedemikian.

“Apakah ada aduan, apakah mereka ada maklumat lain yang kita tak tahu. Jadi, let’s not jump into conclusion, benarkan saya untuk mendapatkan maklumat tambahan sebelum dapat bagi penerangan lanjut,” tambahnya.