Tindakan SPRM Bekukan Akaun UMNO Menyusahkan Parti

Reading Time: < 1 minute

BAGAN SERAI: Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahu membekukan beberapa akaun UMNO termasuk akaun UMNO Pusat dan beberapa negeri secara tidak langsung akan menyukarkan kerja pentadbiran dan urusan berkaitan parti.

Menurut calon Presiden UMNO Khairy Jamaludin Abu Bakar, tindakan SPRM itu diharap bukan bertujuan untuk mengharamkan dan membatalkan pendaftaran parti itu. Sehubungan itu beliau berkata, jika terpilih sebagai Presiden UMNO pada pemilihan yang berlangsung Sabtu ini, perkara membabitkan akaun dan aset parti keramat itu menjadi keutamaannya untuk diselesaikan.

“Saya sangat-sangat khuatir dengan perkembangan terkini berkenaan dengan pembekuan akaun UMNO oleh pihak SPRM.

“Kalau dipilih sebagai Presiden UMNO, saya akan berusaha mempertahankan aset, akaun dan juga parti UMNO. Diharapkan kalau perlu diadakan perjumpaan dengan pihak berkuasa dan juga kerajaan, saya akan tampil memastikan bahawa UMNO tidak terbabit.

“Sebab walau apa pun siasatan ini (berkaitan 1MDB) tidak akan membabitkan UMNO. Sekiranya ada sumbangan daripada pihak tertentu terhadap UMNO, maka saya harap mereka dapat memberikan perincian kepada UMNO kerana saya tak mahu disebabkan kalau ada apa pun sumbangan dari sumber disiasat, ia akan menjejaskan parti secara keseluruhan,” katanya.

Khairy berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan bersama UMNO Perak pada Majlis Sepetang Bersama KJ di Bagan Serai pada Khamis.

Beliau diminta mengulas perkembangan terkini mengenai dakwaan tindakan pembekuan akaun UMNO Pusat, Selangor, Pulau Pinang dan Johor oleh SPRM, hari ini.