Seorang anggota Parti Pribumi Bersatu (PPBM), Syed Razif Syed Rabii tampil mengeluarkan kenyataan akhbar mendakwa kerajaan negeri Perak pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu masih mengamalkan pemberian kontrak tanpa melalui tender terbuka.
Dalam surat tanpa tandatangan yang bertarikh 16 Oktober 2019 yang dilihat oleh kami, Razif mendakwa kontrak penyelenggaraan di bawah bajet Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya (Marris) Perak telah dihadiahkan kepada syarikat yang sebelum ini pernah dilapor kepada SPRM atas kesalahan penyelewengan.
Syarikat yang bernama Bujang Holdings Sdn Bhd telah menggunakan anak syarikat Bujang Selenggara Sdn Bhd untuk menerima projek tanpa melalui tender terbuka. Pada awal tahun ini perkara ini pernah dilaporkan oleh media dan berikutan itu nama syarikat Bujang Selenggara telah ditukar kepada Puncak Emas Infra Sdn Bhd, menurut kenyataan itu.
Razif juga mendakwa setelah ditegur Menteri Besar dan EXCO masih gagal menjawab secara telus dan sekadar mengharapkan perkara ini akan terkubur.
Beliau berkata sebagai ahli PPBM dan rakyat negeri Perak merasa amat kesal dan mempersoalkan mengapa penghadiahan kontrak secara rundingan terus masih berlaku dan MB dan EXCO masih membisu tentang hal ini.
Pejabat Menteri Besar telah dimaklumkan tentang dakwaan ini dan kami masih menunggu respon balas dari mereka.