Pro 98 Reformasi Minta MB Perak Berundur

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Kumpulan Pro98 Reformasi Perak meminta Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu mengundur diri sebagai Menteri Besar Perak demi memulihkan keyakinan penyokong Pakatan Harapan (PH) serta Rakyat negeri Perak.

Setiausahanya, Sazali Shamsudin mendakwa rakyat Perak khususnya penyokong PH umumnya mengetahui Menteri Besar mengamalkan amalan kronisme dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Beliau menyebut contoh dengan mendakwa pengagihan jawatan-jawatan dalam kerajaan kepada pimpinan keempat-empat rakan parti komponen dalam PH tidak diagih dengan saksama.

“Kami kecewa dengan sikap Menteri Besar dari Bersatu dan juga Exco dari Amanah yang hanya mengutamakan kroni mereka sahaja dalam mengisi jawatan  di GLC, agensi kerajaan, kepimpinan kerajaan  tempatan  serta  jawatan dalam MPKK.

“Sebaliknya kroni  dan rakan beliau dari Bersatu yang diberi keutamaan,’’ dakwanya dalam satu memorandum yang dibacakan pada himpinan aman Pro88 Reformasi Perak di hadapan bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.

Beliau turut mendakwa dalam memorandum itu bahawa Menteri Besar  tidak mempunyai komitmen berbincang  dengan pemimpin-pemimpin  PH.

“Kami mewakili rakyat marhaen ingin menegaskan supaya  karenah birokrasi yang menyusahkan rakyat  hendaklah segera diperbaiki.

“Semua urusan permohonan mestilah dipermudahkan dan keperluan  tindakan balas  yang segera.

“Perbuatan sabotaj di kalangan sebahagian pegawai dan penjawat awam hendaklah dihentikan  dengan segera oleh kepimpinan utama kerajaan negeri,’’ katanya.

Beliau menegaskan seluruh kepimpinan bermula dari Menteri Besar, barisan Exco, pegawai dan penjawat awam serta semua agensi kerajaan  perlu memberi keutamaan terhadap usaha membantu rakyat.

“Permudahkan prosedur permohonan  serta hapuskan karenah birokrasi  yang menjejaskan proses penyampaian kerajaan ,’’ kata Sazali.

Pada himpunan itu 98 Reformasi menyerahkan 59 salinan memorandum kepada  Pegawai Khas 2 Pejabat Menteri Besar, Mohd Jeffrey Mohd Zainol.