Pusat Al-Barakah Perlu Buat Engagement Dengan Kerajaan Negeri – Datuk Azhar

Reading Time: 2 minutes

IPOH: Pengerusi Yayasan Kemajuan Islam Darul Ridzuan (KADIR), Datuk Haji Azhar Ahmad mencadangkan Pusat Pendidikan Al-Barakah, Manjoi membuat `engagement‘ dengan kerajaan negeri bagi membantu meneruskan operasi pusat berkenaan yang sedang dilanda masalah kewangan ketika ini.

Beliau optimis dengan adanya engagement di antara Datuk Mohd. Kazim dengan kerajaan negeri menerusi Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam Perak, YB Asmuni Awi dapat membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi pusat berkenaan.

“Insyallah saya percaya YB Asmuni akan bantu sekiranya perjumpaan kasih sayang, silatulrahim diadakan kerana saya tahu jiwa Asmuni jiwa rakyat, jiwa yang nak bantu agama kita….saya yakin.” katanya kepada Independent.my pada Rabu.

Datuk Azhar juga percaya kerajaan negeri pimpinan YAB Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Dato’ Azumu akan membantu memperkasakan Pusat Pendidikan Al-Barakah dan pusat-pusat agama tahfiz di negeri ini.

Beliau turut menyelar pihak tertentu yang menularkan isu pusat ini kononnya akan ditutup yang akhirnya menimbulkan fitnah dan mengelirukan rakyat.

“Bukan ditutup… maksudnya sebahagian daripada cabang yang ada di sini (Pusat) itu mungkin dikeluarkan, macam ditiadakan pelajar tahfiz, diberi kepada koperat-koperat mana-mana orang perseorangan untuk ambil alih.

“Tak timbul soal nak tutup, tidak …yang lain pondok warga emas diteruskan pengajian seperti biasa.

“Cuma kemampuan Datuk Kazim dah terbatas oleh kerana pergerakan ceramahnya berkurang menyebabkan kurangnya pendapatannya… jadi dia telah bermesyuarat dengan jawatankuasanya untuk mengeluarkan satu cabang daripada Al-Barakah Unit Tahfiz untuk diambil mana-mana individu koperat, yayasan yang mampu untuk meneruskan kesinambungan tahfiz ini.

“Tetapi tidak sama sekali ditutup sepertimana disebut oleh Datuk Mohd. Kazim tadi pengajian Al-Quran tahfiz hendaklah diteruskan kerana inilah pengajaran yang boleh memagari manusia daripada melakukan perkara-perkara maksiat kepada Allah dan melahirkan Malaysia yang makmur dan aman.” katanya.

Datuk Azhar juga meminta pihak yang berkenaan membiarkan Datuk Kazim terus berdakwah dalam memartabatkan syiar Islam tanpa sebarang sekatan dan halangan.

“Kalau saya secara peribadi untuk apa kita nak sekat…rakyat sekarang bijak, rakyat boleh menilai mana yang baik mana yang buruk, yang mana betul yang mana salah… biarkan Ustaz Kazim terus berdakwah, style dia, teruskan tak ada masalah dan akhirnya yang membuat keputusan adalah rakyat.

“Inilah dinamakan proses… proses demokrasi yang tidak menyekat manusia untuk menyampaikan pandangan asalkan pandangan itu tidak lari, kalau pandangan itu pandangan agama tak lari daripada Islam, syariat dan kalau pandangan itu tentang negara tak lari daripada hak-hak yang termaktub di dalam perlembagaan Persekutuan.

“Kecuali Ustaz Kasim telah melakukan kesalahan mengajar yang salah, tidak mempunyai tauliah itu patut tidak dibenarkan tapi beliau terkenal bukan setakat berdakwah di Malaysia di Brunei, Singapura, New Zealand, Australia (beliau) telah berdakwah jadi kita teruskan dakwah ini untuk kebaikan bangsa dan negara.

“Jangan sekat dia… dia beri kebaikan banyak kepada negara,” kata Datuk Azhar.