Ustaz Kazim Tangguh Penjualan Unit Tahfiz Al-Barakah

Reading Time: 3 minutes

IPOH: Pendakwah terkenal, Datuk Mohd. Kazim Elias menjelaskan penjualan Unit Tahfiz Al-Quran Pusat Pendidikan Al-Barakah di Manjoi ditangguhkan sementara menunggu hasil perbincangan dengan kerajaan negeri dan beberapa pihak yang berhasrat membantu unit berkenaan.

Menurut beliau, pihaknya telah menerima banyak maklum balas daripada pelbagai pihak sejak semalam yang tidak ingin melihat Unit Tahfiz itu ditutup. Katanya, sebarang keputusan mengenai penjualan unit tersebut akan diumumkan pada bulan depan dan tempoh empat bulan diberikan kepada pelajar dan guru untuk membuat persediaan.

“Untuk menutup pusat tahfiz ini bukannya hari ini cakap esok tutup. Pelajar di sini mempunyai keluarga dan kita kena beri masa untuk keluarga mereka mencari sekolah lain.

“Begitu juga dengan 25 kakitangan di unit tersebut. Jika berlaku penutupan, notis akan diberikan dalam tempoh empat bulan bagi membolehkan mereka membuat perancangan… Apapun keputusan kena tunggu dulu,” katanya kepada pemberita di Pusat Pendidikan Al-Barakah, Manjoi pada Rabu.

Hadir sama memberikan semangat dan sokongan kepada Datuk Mohd. Kazim ialah Pengerusi Yayasan Kemajuan Islam Darul Ridzuan (KADIR), Datuk Haji Azhar Ahmad dan beberapa wakil NGO Islam lain.

Mohd.Kazim seterusnya berkata, sekiranya hasil perbincangan tidak menunjukkan perkembangan positif, maka keputusan untuk menjual unit itu terpaksa diteruskan.

“Jika jadi jual, kita akan serah kepada pihak lain untuk uruskan. Keputusan awal untuk menutup salah satu unit ini terpaksa dilakukan bagi menyelamatkan unit-unit lain.

“Namun jika ada pihak yang mahu tolong, kami alu-alukan dan akan teruskan operasi seperti biasa,” katanya.

Mohd. Kazim seterusnya menjelaskan Pusat Pendidikan Al-Barakah tidak akan ditutup.

“Iaitu pengajian pondok yang tuan-tuan lihat sekarang ini setiap hari berlangsung kelas pengajian dewasa… pondok ini tidak akan ditutup, sebab saya ingin menjelaskan kekeliruan kerana ada yang mengatakan pusat pendidikan ini akan ditutup. Tidak.

“Pusat pendidikan ini tidak ditutup… yang kita merancang untuk perancangan 2019 ialah menilai semula kedudukan unit Tahfiz Al-Barakah kerana selama ini kita menjalankan pusat pendidikan ini adalah daripada sumbangan orang ramai, daripada ceramah-ceramah dan kuliah-kuliah saya dan daripada jualan produk yang dikeluarkan oleh beberapa syarikat terbitan buku… Mereka bekerjasama dengan kami dan kami menjualnya dan inilah yang menampung perbelanjaan sekolah Al-Barakah.

“Sekolah ini tidak ditaja oleh mana-mana individu… tidak ditaja mana-mana parti politik, tidak dibantu mana-mana yayasan pun, kami bergerak sendiri selama 12 tahun beroperasi dari 2006.

“Jadi dari 2006 sehingga 2018 ini, saya dan ahli-ahli jawatankuasa menggerakkan pusat pendidikan ini sehingga mencapai beberapa kejayaan antaranya dipilih sebagai Pondok Progresif Peringkat Kebangsaan, dipilih sebagai sekolah agama rakyat pengurusan terbaik peringkat negeri Perak sempena Maal Hijrah dan kejayaan merangkul johan dan naib johan Hafazan al-Quran peringkat Kebangsaan.

“Ini antara kejayaan yang besar dan kami adalah menjadi sebuah sekolah tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara… ratusan ribu yang melawat Al Barakah dalam setahun…setiap Sabtu, Ahad tidak kurang 30 bas akan membawa pengunjung untuk menziarahi kami setiap minggu daripada seluruh pelusuk tanah air sehinggalah ke luar negara.

Menurut Mohd. Kazim, pusat ini adalah merupakan satu pusat yang dibina dengan nilai budaya mengamalkan kebersihan dan berbaik-baik dengan semua kaum.

“Tuan-tuan boleh lihat yang datang belajar di sini daripada orang Melayu… Cina pun datang sebagai sahabat yang sama-sama menyumbang ke arah pendidikan anak-anak dan warga emas.

“Sistem yang kami perkenalkan di sini berbeza dengan maahad tahfiz lain. Sebelum pelaksanaan peraturan keselamatan bomba, pihak kami telah mendahulunya mengikut klasifikasinya.

“Sekolah kami mengamalkan sistem pembelajaran tambahan macam bahasa Mandarin dan bahasa Tamil untuk pelajar tahfiz… malah bahasa Mandarin diajar sejak umur pelajar 5 hingga 6 tahun sudah diajar untuk bercakap Mandarin.

“Keselesaan pusat pendidikan yang begini besar memerlukan kos yang sangat tinggi… kita menyediakan peralatan, pembelajaran, pengurusan dan guru-guru daripada semua peringkat sehinggalah SPM dan semua itu kami tidak minta duit daripada kerajaan, parti politik, yayasan atau individu korporat – semuanya adalah atas usaha sendiri dan bergantung banyak hasil ceramah saya dari seluruh Malaysia.” katanya.

Mohd Kazim turut menzahirkan raza kecewa beliau kerana mendakwa ada usaha-usaha dibuat untuk menyekat beliau terus berdakwah.

“Jadi saya melihat benda ini satu benda yang mengecewakan…. Saya ingin menjelaskan di sini tidak ada tindakan dan sekatan daripada mana-mana pihak parti atau kerajaan jadi apa yang diviral di komen oleh netizen di media sosial itu bukan kenyataan saya.

“Saya tidak mengatakan mana-mana pihak, saya menyebut ada usaha-usaha seolah-olah menyekat ceramah saya… berkali-kali dibatalkan di saat akhir… ada yang dah sampai dalam bilik dewan tiba-tiba tak dibenarkan berceramah.

“Jadi bila kita tanya siapa yang berikan arahan?…tiada siapa yang nak beri jawapan. Jadi bila saya bermesyuarat dengan ahli jawatankuasa kalau keadaan ini berterusan saya bimbang maahad tahfiz, unit pondok akan menghadapi masalah dari sudut pembiayaannya sebab ia bergantung banyak daripada ceramah saya, sumbangan orang ramai dan jualan produk ketika ceramah.” ujarnya.