Rakyat Malaysia Pertama Dijangkiti nCov-2019

Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA | Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan 2 kes baharu koronavirus novel di mana seorang darinya adalah rakyat Malaysia berumur 41 tahun, manakala seorang lagi ialah warga negara China, menurut Menteri Kesihatan Datuk Dr. Dzulkefly Ahmad.

Warga China yang berusia 63 tahun yang mendapat jangkitan itu berasal dari Wuhan tiba di KLIA pada 18 Januari lalu. Beliau mula mengalami demam ringan pada 23 Januari dan telah mendapatkan rawatan pesakit luar di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur. Kini dia diletakkan di bawah Perintah Pengawasan dan Pemantauan (Home Surveillance).

Warga negara Malaysia berasal dari Selangor dipercayai mendapat jangkitan di luar negara semasa berada di Singapura dari 16 hingga 23 Januari 2020.

Beliau telah mendapatkan rawatan di hospital swasta di Selangor selepas mengalami demam dan batuk. Selanjutnya dia dirujuk ke Hospital Sungai Buloh pada 2 Februari dan dimasukkan ke wad isolasi.

Dengan pertambahan 2 kes baru ini, jumlah kes koronavirus novel yang dilaporkan sehingga hari ini adalah sebanyak 10 kes, iaitu 5 kes pesakit di bawah pemeriksaan (PUI) dan 5 kes lagi dalam kontak rapat. Daripada jumlah itu, 9 kes melibatkan warga negara China.