Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan untuk membenarkan kedai makan beroperasi sepenuhnya dibuat susulan pertemuan antara kerajaan negeri, Datuk Bandar, presiden majlis tempatan dan pegawai daerah.
“Restoran, medan selera, gerai berbumbung dan kios makanan kini boleh beroperasi sepenuhnya, termasuk menyajikan makanan dan minuman di premis mereka, dari jam 7 pagi hingga 10 malam,” kata Amirudin dalam satu kenyataan pada Selasa (12 Mei).
Beliau menambahkan, bagaimanapun, itu bergantung kepada pematuhan jarak sosial.
Meletakkan meja di kaki lima dan tempat letak kenderaan juga tidak dibenarkan.
“Pemilik restoran digalakkan untuk menawarkan pilihan secara pesanan kepada pelanggan mereka untuk mengelakkan kesesakan di kedai,” kata Amirudin.
Pegawai penguatkuasa majlis tempatan akan melakukan kunjungan mengejut ke restoran, dari semasa ke semasa, untuk memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.
Trak makanan, penjual makanan di tepi jalan dan juga vendor yang termasuk dalam kategori bukan premis juga boleh mula beroperasi dari jam 8 pagi hingga 10 malam tetapi hanya boleh berfungsi melalui pandu lalu, bawa pulang dan lhidmat penghantaran.
Amirudin berkata, majlis tempatan akan mengkaji keperluan vendor beroperasi mengikut giliran, sekiranya mereka berada berdekatan satu sama lain sehingga menyukarkan pelanggan untuk mengamalkan penjarakan sosial.
Menyembelih binatang seperti ayam dilarang di semua pasar, termasuk pasar basah dan pasar borong, tetapi aktiviti lain dibenarkan.
“Larangan untuk pasar pagi dan pasar malam beroperasi tidak berubah pada masa ini,” kata Amirudin.
Semua taman juga dibuka kepada orang ramai untuk beriadah dari jam 7 pagi hingga 7 malam.
“Mendaki dan berkhemah masih tidak dibenarkan tetapi aktiviti memancing dibenarkan,” kata Amirudin.
Dia menambah negeri akan mengeluarkan surat pekeliling yang lebih terperinci mengenai perkara itu untuk tujuan rujukan dan penguatkuasaan tidak lama lagi.
Amirudin berkata, aktiviti dan perkara lain selaras dengan SOP dan garis panduan Majlis Keselamatan Negara.
Langkah terbaru negeri ini selari dengan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) Kerajaan Persekutuan, yang membolehkan restoran dan beberapa entiti komersial lain untuk beroperasi semula.