Retorik vs Realiti Politik Perkauman

Reading Time: 4 minutes

ULASAN | Beberapa minggu ini, politik Malaysia agak gamat dan kelam kabut. Adakalanya sangat membimbangkan seolah-olah ketegangan kaum sedang berlaku. Di media sosial khususnya Whatsapp dan Facebook sarat dengan provokasi perkauman. Pelbagai kata-kata pemimpin berkaitan kaum masing-masing beserta gambar yang diolah dimuat naik atas alasan peringatan serta membangkitkan kesedaran.

Bermula daripada isu pendakwah Zakir Naik, khat jawi dan penghinaan kepada angkatan tentera Malaysia, seolah-olah akan berlaku ‘perang jihad’ orang Melayu kepada kaum-kaum lain. Banyak laporan polis dibuat demi mempertahankan kepentingan kaum masing-masing. Tidak kurang juga ada individu yang diambil tindakan lantaran keceluparan dan ekstrem. Sebelum bergelegak isu-isu ini, negara terpalit dengan isu-isu moral yang melibatkan kepemimpinan negara dan negeri.

Persoalannya, apakah semua ini benar-benar suatu penghinaan kepada agama Islam dan orang Melayu atau kaum-kaum lain? Jika benar sedemikian, seharusnya telah mendapat perhatian Majlis Raja-raja dan sudah tentu ada titah menanganinya dengan segera. Majlis Keselamatan Negara tentulah sibuk memantau agar tidak berlaku darurat. Sementara di rumah pula pasti ada longgokan bekalan makanan sebagai persediaan jika berlaku rusuhan seperti 13 Mei 1969. Sementara pihak polis sudah pasti bersiap siaga di tempat-tempat panas dan berpotensi berlaku rusuhan.

Keharmonian masih utuh

Di sebalik situasi ini, apa yang pasti ialah pasar raya masih menjadi tumpuan khususnya pada hujung minggu, lebuh raya dan jalan raya masih sesak dengan kenderaan, kenduri di taman perumahan dan kampung serta di hotel semakin meriah, serta majlis sambutan rasmi sama ada pihak kerajaan mahu pun pembangkang deretan kerusinya tetap dipenuhi dengan pelbagai kaum. Malahan, di sepanjang jalan pasar-pasar malam masih kedengaran pekikan suara peniaga Melayu, India dan Cina di samping pengunjungnya juga pelbagai kaum. Begitulah juga deretan kedai tomyam masih segar cahayanya hingga ke azan subuh berkumandang. Pendek kata, semuanya masih ceria melainkan yang membimbangkan ialah ancaman jenayah!

Ibrahim Ahmad

Realitinya tidak begitu kerana selepas Pilihan Raya Umum ke-14 peralihan kuasa telah berlaku dengan sempurna. Tidak ada tumpah darah seperti di sesetengah negara. Para Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri telah selesai mengangkat sumpah kesetiaan demi menjalankan amanah rakyat, manakala lantikan pelbagai jawatan politik juga ceria sebagai habuan penat lelah berkempen dahulu. Para jemaah Menteri dan Exco usai dengan portfolio masing-masing hasil daripada mandat rakyat itu.

Keliru dan muak

Bagi saya ini adalah retorik berpolitik. Yang membangkitkan isu ini majoritinya kelompok ‘pejuang dan pendokong politik’. Yang mengungkit dan menghina perihal orang Melayu, Cina dan India rata-ratanya kelompok tegar politik. Kemudian, mereka biarkan isu-isu perkauman itu menjadi polemik awam hingga mencetuskan ketidak-harmonian rakyat. Ironisnya, mereka cuba mengheret rakyat untuk sama-sama berbalah dalam perebutan kuasa antara mereka. Mungkin mereka percaya hanya dengan membangkitkan sentimen kaum dan agama sahaja dapat mengekalkan atau mengembalikan kuasa.

Akibatnya, sesetengah rakyat akan menjadi keliru. Hendak disanggah bimbang dituduh sebagai pengkhianat dan tidak cakna hal agama dan bangsa sendiri. Jika berdiam akan dikatakan sebagai ‘mati hati’ lantaran sudah hidup selesa. Lebih memilukan akan dituduh sebagai ‘munafik’, ‘seperti lalang’, ‘sesumpah’ atau oportunis jika mengambil pendirian bersama-sama dengan semua pihak.

Andai ini yang dilazimkan dalam politik Malaysia, suatu ketika nanti rakyat akan muak dan mual juga. Rakyat bukanlah seperti bulu tangkis atau buah catur yang boleh ‘dipukul atau ditolak’ sepanjang masa. Sebahagian besarnya telah celik politik dan mampu membezakan antara retorik dengan realiti. Sekalipun pelbagai sogokan sah politik ditaburkan, rakyat tidak mudah rabun dan dapat membezakan antara kaca dengan intan – antara hak dengan batil.

Justeru, janganlah bermain dengan sentimen seperti ini. Berpolitiklah secara matang atau mengamalkan budaya politik tinggi. Andai ingin menyatukan bangsa atas parti politik, jauhilah karenah fitnah-memfitnah dan mengadu domba rakyat. Terapkan budaya melihat perbezaan sebagai rencah membina kekuatan sesama rakyat, iaitu berbeza ideologi politik tetapi semangat negara tetap satu.

Tidak perlulah mengheret rakyat berpolitik sepanjang masa. Kepada wakil rakyat sekalian, janganlah ‘bisu’ dan bawalah suara rakyat di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Yang bergelar kerajaan, ingatlah kembali manifesto yang dijaja ketika PRU lepas, manakala pihak pembangkang janganlah mengenang lagi nasib kejatuhan lepas, tetapi bangkitlah dengan iltizam memperbaiki segala kelemahan lepas.

Bukan hamba parti politik

Perlu disedari, mempertahankan Malaysia atas nama Melayu dan Islam bukanlah salah, jauh sekali dikatakan rasis, kerana negara ini memang terletak dalam Kepulauan Melayu; bahkan milik orang Melayu iaitu selaras dengan konsep son of the soil (peribumi asal). Namun, disebabkan bukan Melayu telah diterima sebagai warganegara Malaysia, hak mereka perlu diakui dan dilunaskan. Kesetiaan mereka kepada Malaysia juga tidak wajar diragui walaupun sering dikaitkan dengan negara asal nenek moyang mereka.

Sesungguhnya, suasana politik Malaysia masih ‘meriah’ dan harmoni. Masyarakat majmuk yang terbina sejak sekian lama masih utuh. Justeru, setiap rakyat perlu rasional dalam berpolitik. Jangan biarkan diri menjadi hamba parti politik. Bersikap positiflah dalam setiap ketegangan yang melibatkan kaum dan agama. Selesaikan secara ‘saudara senegara’, bukan membiarkan menjadi api perkauman. Paling penting, sebagai rakyat yang bermaruah perlu menjadi pendamai terhadap isu-isu seperti ini bukannya menjadi batu api.

Maka, benarlah apa yang dikatakan oleh Profesor Dr. Ishak Saat, pendekatan radikal politik memang mewarnai situasi politik kita. Dalam kerangka politik matang, kita sekadar berperang mulut, bukannya berparang. Namun, jangan pula dilupai prinsip kelima Rukun Negara, Kesopanan dan kesusilaan yang mencerminkan adat dan budaya orang Malaysia. Jauhilah sikap mencemuh dan kata-kata nista serta memfitnah hingga mengaibkan peribadi lawan.


Ibrahim Ahmad adalah pensyarah di UniKL RCMP. Rencana di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian rasmi Independent.