Saarani Bertegas Dia Tidak Berbohong … Malah Punya Bukti Aziz Bari Terlibat

Reading Time: < 1 minute

IPOH: Ketua Pembangkang Perak, Datuk Saarani Mohamad tetap bertegas dengan dakwaannya bahawa Timbalan Pengerusi DAP Negeri, Prof. Dr Aziz Bari adalah orang yang berusaha menjatuhkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu melalui undi tak percaya.

Justeru itu, tegas beliau, pembangkang Perak tidak akan membenarkan usaha itu dibuat secara `pintu belakang’ dan tidak demokratik.

Malah, kata Saarani lagi, beliau telahpun punyai bukti akuan bersumpah daripada lima Adun UMNO yang mengakui mereka telah ditemui Dr Aziz Bari berhubung usaha mahu menjatuhkan Menteri Besar melalui undi tidak percaya.

“Kita ada bukti … malah ada ambil gambar Aziz Bari semasa pertemuan dengan ADUN-ADUN kita … cuma tiada rakaman percakapannya sahaja,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di Bilik Media, Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.

Saarani yang juga ADUN Kota Tampan seterusnya menjawab dakwaan Aziz Bari bahawa beliau (Saarani) sengaja reka cipta cerita komplot nak menjatuhkan Menteri Besar tetapi mengakui usaha itu benar wujud.

“Saya anggap kenyataan Aziz Bari ini sangat pelik … Saya adalah orang Islam, saya tidak berbohong.

“Dia (Aziz Bari) tidak boleh berbohong, bersifat munafik dan hipokrit apatah lagi Timbalan Pengerusi DAP… seorang public figure.

“Manusia boleh menipu orang lain tetapi tidak boleh menipu diri sendiri … Saya terpanggil untuk menjawab persoalan ini kerana sebagai ketua pembangkang saya terpanggil dan bertanggungjawab kepada suasana politik yang harmoni” ujarnya.

Semalam Aziz Bari dalam satu sidang media menafikan dakwaan pembangkang kononnya beliau adalah orang yang dituduh cuba menjatuhkan Menteri Besar melalui usaha undi tidak percaya.