IPOH: UMNO Perak sengaja menimbulkan cerita ‘dongeng’ kononnya wujud komplot mahu menjatuhkan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu supaya mereka mendapat ruang dan peluang untuk menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan Perak.
Menurut Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming, beliau tidak nampak ada komplot sebenar mahu menjatuhkan Menteri Besar melalui undi tidak percaya malah kesemua 18 ADUN DAP termasuk Exco PH berdiri teguh di belakang kepimpinan Menteri Besar.
“Kesemua 30 anggota dalam pentadbiran PH berdiri teguh menyokong kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal sekaligus membuktikan tiada usaha ataupun usul dibuat mahu menjatuhkan Menteri Besar Perak pada sidang Dewan yang akan berakhir hari ini.
“Ini jelas menunjukkan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Faizal masih tetap Menteri Besar Perak … cerita yang direka cipta Datuk Saarani Mohamed hanyalah cerita dongeng semata-mata untuk mengelirukan rakyat Perak.
“Namun rakyat Perak bijak menilai permainan kotor politik pembangkang ini yang hanya membazir masa dan tidak membawa sebarang faedah sedangkan kita dalam kerajaan PH senantiasa memberi fokus kepada kebajikan rakyat dan pembangunan negeri,” katanya kepada pemberita di Bilik Media, Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Selasa.
Pada sidang media itu Nga Kor Ming mendedahkan Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc.) kini sedang berdepan tuntutan saman mahkamah berjumlah RM18 juta daripada beberapa syarikat yang menjalankan aktiviti perlombongan.
Beliau mendakwa MB Inc. telah menerima commitmen fee daripada beberapa syarikat berkaitan perlombongan berjumlah RM53.6 juta yang sepatutnya disimpan ke dalam bank tetapi hasil pemeriksaan mendapati daripada jumlah itu hanya tinggal RM13.5 juta.
“Yang menjadi persoalan sekarang di mana pergi baki RM lebih 40 juta … sepatutnya kesemua wang yang telah lesap itu tidak boleh digunakan selagi pelaksanaan projek belum selesai.
“Tapi nampaknya projek belum lagi selesai wang itu telah digunakan … sehingga menyebabkan MB Inc. berdepan tuntutan saman mahkamah.
“Jika kes tuntutan ini kalah … maka MB Inc. terpaksa menjelaskan tuntutan itu maka ini bermakna ia terpaksa menggunakan wang rakyat,” katanya.
Nga Kor Ming berkata, pembongkaran ini jelas membuktikan berlaku urus tadbir yang tidak cekap semasa kerajaan UMNO dan BN.