SAM Minta Pihak Berkuasa Siasat Pembuangan Sisa Industri di Chepor

Reading Time: 2 minutes

IPOH | Pertubuhan yang memperjuangkan keadilan untuk alam sekitar, Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa pihak berkuasa yang berkenaan supaya menyiasat secara terperinci dakwaan terdapat aktiviti pembuangan sisa industri di Chepor, Chemor, Perak.

Menurut Pegawai Lapangan SAM, Meor Abdul Razak bin Meor Abdul Rahman, kegiatan pelupusan bahan buangan itu dilakukan secara kambus tanah di kawasan yang bukan ditetapkan untuk pelupusan bahan buangan.

SAM turut berharap pihak berkuasa yang berkenaan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pihak yang melakukan pelupusan tersebut serta mendedahkan kepada umum sama ada ia adalah bahan berbahaya kepada alam sekitar, sisa buangan terjadual atau hanya sisa sebatian organik.

Pembuangan sisa industri secara kambus tanah di Chepor

Kegiatan pelupusan bahan buangan itu dikenal pasti setelah SAM menerima maklumat dari orang awam dan ia didakwa telah berlaku sejak lebih setahun lalu.

“Sekiranya bahan buangan tersebut bukan bahan berbahaya kepada alam sekitar atau bukan buangan terjadual mengapa pihak yang menghasilkan sisa buangan tersebut tidak melupuskannya di tapak pelupusan sisa pepejal sedia ada yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

SAM dalam satu kenyataan melontarkan harapan isu ini mendapat perhatian pihak berkuasa dan tindakan tegas wajar diambil untuk membanteras kegiatan pembuangan sisa secara haram.