Sarawak Bakal Terdedah Kepada Isu Perkauman & Kebebasan Beragama

Reading Time: < 1 minute

Kuching – Sarawak akan terjebak dalam politik perkauman dan tiada toleransi beragama yang dipelopori oleh Parti Islam SeMalaysia (PAS) jika Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyokong Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan persekutuan.

Ketua Cabang Keadilan (PKR) Selangau, Joshua Jabeng dipetik kenyataannya dari Dayak Daily ekoran pertemuan antara pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dengan Tan Sri Mahiaddin Yasin untuk membentuk kerajaan persekutuan untuk 5 tahun akan datang.

“Walaupun ini hanyalah satu lagi percubaan untuk menyekat proses reformasi ke arah tadbir urus yang baik, saya menyatakan kebimbangan besar bahawa rakyat Sarawak akan terus tertakluk kepada perkauman dan sikap tidak bertoleransi agama yang disebarkan oleh PAS.

“Sarawak adalah negeri sekular di mana agama dan politik tidak bercampur-aduk. Kekuatan 49 kerusi PAS dalam PN akan meletakkan Mahiaddin di tempat kedua di belakang Hadi Awang (Pengerusi PAS) yang mungkin menjadi Perdana Menteri.

“Warga Sarawak telah lama menolak Hadi Awang sebagai pemimpin yang tidak bertoleransi.” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dia berpendapat PAS adalah satu ancaman kepada budaya pelbagai tradisi dan warisan.

“Saya bercakap untuk mempertahankan hak perundangan pelbagai budaya, agama dan masyarakat sekular. Politik Islam tidak diundang dalam kewujudan harmoni masyarakat Sarawak.

“Penduduk Sarawak yang berbilang budaya lebih baik bekerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri,” tambahnya.

Justeru, beliau merayu kepada semua ahli parlimen dalam GPS untuk menggunakan akal fikiran mereka dan berani menolak sebarang hasrat untuk bekerjasama dengan PN.

“Memang Sarawak Didahulukan, Bersatu Kita Boleh; harus didengari dengan kuat dan jelas,” kata Joshua.