Zahid Sasar Tambah Peluang Pekerjaan di Bagan Datuk

Reading Time: < 1 minute

Hutan Melintang – Pembangunan industri dan pembinaan jalan raya empat lorong merupakan agenda utama yang akan dilaksana di Bagan Datuk tidak lama lagi.

Penyandang kerusi parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, menerusi pembangunan industri, lebih banyak peluang pekerjaan akan diwujudkan kepada penduduk tempatan.

“Mereka tidak perlu lagi berhijrah jauh mencari pekerjaan kerana peluang kerja sudah ada di sini,” katanya semasa bertemu masyarakat India Simpang Empat di sini pada Khamis.

Tambah beliau, pembinaan jalan raya empat lorong pula bakal melancarkan sistem pengangkutan bagi merancakkan lagi sektor ekonomi penduduk Bagan Datuk.

Menurutnya, kedua-dua perancangan pembangunan ini akan direalisasikan dalam tempoh lima tahun dari sekarang.

DUN Hutan Melintang berada di dalam kawasan parlimen Bagan Datuk.