Pilih BN, Nasib Rakyat Terbela – Khairuddin

Reading Time: < 1 minute

Hutan Melintang – Masyarakat India di parlimen Bagan Datuk diminta tidak termakan janji pembangkang kerana janji yang dibuat hanyalah palsu.

Calon BN DUN Hutan Melintang, Datuk Khairuddin Tarmizi berkata, ini kauh berbeza dengan BN yang mengotakan segala janji yang dibuat demi kesejahteraan rakyat.

“Jangan ulangi kesilapan lalu… muktamadkan tekad untuk terus menyokong BN,” katanya semasa mengadakan pertemuan dengan masyarakat India di Ladang Jenderata pada Rabu.

Menurut Khairuddin, pada PRU-15 ini, salah satu janji yang dibuat dalam manifesto BN ialah menghapuskan kemiskinan mutlak melalui Skim Bantuan Pendapatan Asas yang dikreditkan secara otomatik setiap bulan kepada isi rumah berpendapatan kurang daripada RM2,208 sebulan.

Katanya, segala janji yang ditabur pembangkang di dalam kempen ketika ini hanya retorik semata-mata demi memancing undi rakyat.

Justeru itu, katanya, masyarakat India harus bijak menilai dengan memilih BN yang dapat mengotakan segala janji yang dibuat untuk kesejahteraan hidup rakyat.

DUN Hutan Melintang menyaksikan pertandingan 3 penjuru antara Khairuddin dari BN, Wasantha A/P Sinnasamy dari Pakatan Harapan dan calon Perikatan Nasional, Khairun Nizam bin Marsom.

Pada PRU-14, Khairuddin memenangi kerusi itu dengan majoriti 741 undi.