Uniknya Menara Condong Teluk Intan

Reading Time: < 1 minute

Menara setinggi 25 meter yang terletak di tengah bandar Teluk Intan ini adalah alternatif versi setempat kepada Menara Condong Pisa di Itali.

Ia dibina pada tahun 1885 oleh Encik Leong Choon Cheong dan beberapa kontraktor Ceylon. Jalan di tengah-tengah Bandar Teluk Intan telah dinamakan sebagai Jalan Ah Cheong sempena memperingati sumbangan En. Leong Choon Cheong yang membina menara tersebut.

Peranan asalnya adalah untuk menyimpan air untuk kegunaan penduduk tempatan semasa musim kemarau. Sejak ia mula condong kerana tapak asasnya yang bertanah lembut, ia mula menjadi perhatian orang ramai dan lama-kelamaan menjadi salah satu tarikan pelancong.

Sesuatu yang unik tentang menara ini, yang jarang diberitahu oleh pengunjung ialah anda akan merasa seperti mabuk laut, sedikit rasa pening apabila naik ke tingkat yang lebih tinggi. Ini dipercayai berlaku kerana lantai menara itu semakin condong pada paras yang lebih tinggi, menara berlantai kayu itu sendiri sememangnya tidak stabil dan bergoyang apabila ada angin yang kuat. Jika anda ingin merasai pengalaman ini, sila datang sendiri dan naik ke atas.

Mempunyai struktur bata 3 tingkat dengan tangki air keluli besar di tingkat atas. Seni binanya seolah seperti pagoda 8 tingkat. Penduduk tempatan menyumbang untuk membeli jam dari James W. Benson, Pembuat Jam Turret Ludgate Hill, London. Ia masih berfungsi hingga hari ini.