Semua Daerah Diberi Peluang Nikmati Pelaburan – DS Nizar

Reading Time: 2 minutes

SIDANG DUN | Kerajaan negeri akan terus berusaha untuk memberi peluang yang sama rata  kepada semua daerah di Perak untuk menikmati pelaburan sekiranya terdapat  projek-projek yang bersesuaian untuk ditempatkan di daerah-daerah tersebut.

Menurut Exco Pelaburan Negeri, Dato’ Seri Nizar Jamaluddin, statistik menunjukkan bahawa daerah Kinta mencatat jumlah pelaburan tertinggi iaitu sebanyak RM1.19 bilion diikuti daerah Manjung sebanyak RM201.9 dan juga Hilir Perak sebanyak RM5.52 juta.

Selain itu, katanya, perancangan strategik kerajaan negeri menerusi pembangunan projek-projek infrastruktur seperti projek jajaran paip gas asli, pembangunan kawasan-kawasan perindustrian yang baru, rangkaian lebuh raya baru seperti West Coast Expressway (WCE) dan cadangan projek menaiktaraf Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah Ipoh pastinya menjadikan negeri Perak sebagai destinasi pelaburan yang kondusif kepada para pelabur.

“Ini sekaligus  bakal membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini,’ katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Selasa.

Beliau menjawab soalan YB Mohamad Noor Dawoo (BN- Selinsing) berhubung peluang setiap DUN menikmati taburan dan kesan hasil daripada pelaburan  medan minta dinyatakan jenis pelaburan baru berimpak tinggi yang dibawa masuk ke negeri Perak.

Menurut Nizar, bagi tahun 2018, 57 projek telah diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dengan pelaburan sejumlah RM2.27 bilion didalam sektor perkilangan dan perkhidmatan , 30 peratus daripada jumlah bilangan projek yang dilulus merupakan projek baru  dengan nilai pelaburan sejumlah RM522.1 juta.

Katanya, jumlah kesesluruhan pelaburan bagi sektor pembuatan yang diluluskan di negeri Perak berdasarkan “Industrial Coodination Acts 1975’’ (ICA) bagi tempoh Januari sehingga Mac 2019 adalah RM1.43 bilion.

“Daripada jumlah ini, sebanyak RM848 juta merupakan jenis pelaburan langsung asing (FDI), manakala RM585 juta merupakan jenis pelaburan tempatan (DDI).’’ Kata Nizar.

Dalam pada itu, kata beliau, jumlah pelaburan yang dicatatkan di negeri  Perak dalam tempoh yang sama bagi tahun 2018 pula adalah sebanyak RM249.8 juta dimana secara perbandingan menunjukkan jumlah pelaburan yang direkodkan pada suku  pertama tahun 2019 adalah amat memberangsangkan.

Katanya, dalam tempoh suku tahun pertama iaitu dari bulan Januari hingga Mac 2019 , jumlah nilai pelaburan bagi sektor pembuatan dan perkhidmatan yang telah diluluskan di negeri Perak adalah sebanyak RM1.43 bilion , iaitu meningkat hampir 6 kali ganda berbanding  Cuma RM249.8 juta bagi tempoh yang sama padea tahun 2018.

Selain itu menurut Nizar, industri berasaskan elektrik dan elektronik merupakan antara penyumbang utama  kepada pencapaian ini menerusi pelaburan daripada beberaspa syarikat multinasional dari Jepun yang melabur sebanyak RM519.7 juta bagi pengeluaran produk berkualiti tingg “power inductor’’ dan “music laboratory system /console’’.

“Kelulusan pelaburan dalam sektor ini adalah sesuai dan amat digalakkan untuk ditempatkan di negeri Perak memandangkan  ianya memberi impak yang tinggi kepada pembangunan ekonomi dan rakyat.