Semua MP Bersatu Sokong PM Tanpa Belah-bagi

Reading Time: < 1 minute

Semua ahli parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Presiden, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu pada hari ini (Khamis 24 Sep).

Tambah beliau, Perdana Menteri itu telah membuktikan keprihatinnya membela nasib rakyat dan menjana semula ekonomi selepas terkesan akibat pandemik Covid-19.

Kenyataan itu muncul selepas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam dalam satu sidang media di sebuah hotel di ibu negara mendakwa memperolehi jumlah sokongan ahli parlimen yang lebih dari cukup untuk membentuk kerajaan baru.

Ia disambut pula oleh kenyataan dari Presiden UMNO, Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengatakan bahawa UMNO tidak boleh menghalang mana-mana ahlinya menyokong sesiapa sahaja kerana UMNO dan Barisan Nasional tidak secara rasmi berada di dalam Perikatan Nasional.

Ahmad Faizal turut mencabar jika benar dakwaan Anwar, beliau perlu membuktikannya melalui proses perlembagaan.

“Sekiranya YB Dato’ Seri Anwar benar-benar mempunyai sokongan majoriti, beliau seharusnya membuktikan dakwaan itu menurut proses dan kaedah yang ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Justeru, tindakan YB Dato’ Seri Anwar semalam dilihat seolah-olah cuba mensabotaj ekonomi negara dengan menjejaskan keyakinan pelabur terhadap kestabilan kerajaan, apabila kenyataan beliau dilaporkan oleh media antarabangsa, tambah Ahmad Faizal dalam kenyataan itu.

Beliau menyeru semua ahli parlimen BERSATU supaya bertenang dan terus memberi sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin dalam menumpukan urusan pentadbiran negara dan berperang melawan pandemik.