Sidang Dewan Sehari Terlalu Suntuk Untuk Kemuka Masalah Rakyat

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Tempoh masa sehari persidangan dewan negeri adalah tempoh masa yang tidak mencukupi bagi menyelesaikan masalah rakyat, menurut ADUN Sungai Rapat, Dato’ Seri Nizar Jamaluddin.

“Ini hanya untuk memenuhi syarat sahaja, “katanya.

Tambahnya lagi, berbeza semasa zaman Pakatan Harapan (PH), ia digunakan untuk membantu mengemukakan masalah rakyat.

“Tadi nak minta pakej rangsangan ekonomi kerana Covid-19 pun tak sempat, “kata beliau semasa sidang media di Ibu Pejabat DAP Perak di sini hari ini.

Dalam sidang media yang sama, Ketua pembangkang, Dr Abdul Aziz bin Bari berkata beliau bersetuju dengan pendapat ADUN Pasir Pinji Howard Lee sebelum itu yang mengatakan sepatutnya langsungkan selama dua atau tiga hari disekalikan dengan slot belanjawan negeri.

“Sekarang sudah di hujung Oktober nak masuk November, kalau dibentangkan (belanjawan) sekarang tidak sepatutnya menjadi masalah, “ujarnya.