Muhyiddin Perlu Segera Letak Jawatan – AMK Perak

Reading Time: < 1 minute

Angkatan Muda Keadilan Negeri Perak (AMK) mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meletakkan jawatan secara terhormat dengan kadar yang segera demi kebaikan negara.

Menurut AMK, sehingga kini Perdana Menteri masih lagi gagal membuktikan beliau mempunyai majoriti yang kukuh untuk mentadbir negara sejak sidang dewan rakyat Mei lalu.

“Dan kini, Muhyiddin Yassin telah hilang majoriti sokongan dalam kalangan ahli parlimen dan mencetuskan ketidakstabilan kerajaan.

“Jadi bagaimana sesebuah kerajaan boleh berfungsi dengan baik dalam keadaan begini, “soal sayap parti PKR itu dalam satu kenyataan yang dihantar melalui kumpulan Whatsapp ADUN Hulu Kinta.

AMK berpendapat Belanjawan yang akan dibentangkan dalam sidang dewan rakyat November ini pasti akan ditolak setelah usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri dinafikan pada sesi sebelum itu.

Ia akan membawa implikasi yang buruk terhadap keyakinan pelabur.

Tambahan pula, Perdana Menteri juga telah terpalit dengan isu rasuah jawatan bagi memastikan majoriti tipis yang beliau miliki dapat dikekalkan seperti yang didakwa oleh Ahli Parlimen Gua Musang.

AMK mendakwa kerajaan Perikatan Nasional ini berasaskan rasuah politik yang diterima oleh ahli parlimen dan pimpinan politik tertentu.

“Adakah rakyat Malaysia masih mahu seorang Perdana Menteri yang terlibat dalam rasuah politik dan lemah mentadbir?

“Kegagalan kerajaan melawan Covid-19 semakin jelas sehinggakan mencapai rekod 4 digit dicatatkan kelmarin. Tetapi beliau masih berkira-kira untuk mengukuhkan kerajaan yang kian rapuh, “memetik kenyataan Timbalan Ketua AMK Perak, Muhamad Alif Asyraf.

AMK berkata rakyat tidak sepatutnya menjadi taruhan sekali lagi setelah cubaan untuk meminta Yang Di-Pertuan Agong mengisyiharkan darurat demi menyelamatkan survival politik beliau.

Beliau dilihat lemah dan tidak mampu untuk membuat keputusan yang baik untuk menyelesaikan masalah ekonomi negara yang berpunca dari wabak Covid-19.

Muhamad Alif juga merupakan EXCO AMK Malaysia.