Solat Jumaat Perlu Diadakan Mengikut Perkembangan Semasa – AMANAH

Reading Time: 2 minutes

Berikut kenyataan media Pemuda AMANAH Negeri Perak yang dikeluarkan pada hari ini 30 Apr 2020:

1- Kerajaan Negeri Perak melalui Kenyataan YAB Menteri Besar telah memaklumkan bahawa ketika PKP Fasa ke 3 sedang berjalan, rakyat Perak dikhabarkan bahawa Negeri Perak bebas dari Zon Merah COVID19. Kerajaan PN dibawah Perdana Menteri DS Muhyidin Yasin juga setiap minggunya memberi dasar dan peraturan baru dalam tempoh PKP. KKM pula saban harinya mengumumkan penurunan kadar jangkitan dan peningkatan pesakit yang sudah sembuh, serta beberapa kawasan (daerah dan negeri) telah pun diumumkan sebagai ‘kawasan zon hijau’.

2- Walaupun begitu, hal tersebut bukanlah jaminan bahawa kita sudah berjaya membebaskan negara dari virus ini secara total. Dalam suasana yang mencengkam ini, Kerajaan PN telah membahagi dengan rakusnya jawatan-jawatan politik (baca ghanimah) dan juga telah membenarkan beberapa sektor ekonomi berjalan sesuai SOP yang telah ditetapkan (meskipun begitu masih ada pemain ekonomi kecil-kecilan tidak dibenar operasi). Ini menunjukan sudah ada sedikit kelonggaran dalam fasa ke-3 dan ke-4 PKP.

3- Dalam pengumuman media PKP yang sentiasa di ‘update’ tentang kebenaran pergerakan rakyat, sangatlah malang kerana tiada pengisytiharan kebenaran menjalankan SOLAT JUMAAT yang hanya seminggu sekali. Kenapa tiada ‘update’ ijtihad atau perbincangan pihak Kementerian Agama dengan pihak KKM bagi memastikan syiar Islam ini tetap tertegak? Bukankan sudah berbeza ‘illat’ yang mana sudah ada kawasan hijau? Meskikah dipukul rata dengan hukum yang sama sedangkan setiap kawasan berbeza dan ada kawalan ketat keluar masuk?
Banyak lagi persoalan sebenarnya yang boleh membuka kembali ruang mengkaji kebenaran bagi rakyat ke masjid dengan SOP yang ketat dan sesuai, sepertimana SOP ke kedai barangan harian.

4- Ramadhan pula sangat mengetuk pintu hati ‘ahlillah’ untuk kembali ke masjid dengan jadual ibadatnya. Sewajarnya masjid kembali diimarahkan sebagai tanda kebergantungan kita kepada Allah dalam memohon perlindungan dan keampunanNya. Kita sudah tujuh minggu tidak ada khutbah, sudah tiada doa berjemaah melebihi 40 orang, sudah tidak ada dibenarkan berterawih meskipun bertiga antara pegawai masjid (imam,bilal, dan siak) di Negeri Perak ini dan umumnya berlaku seluruh negara.

5- Malaysia mungkin menjadi negara pertama yang benar-benar berjaya membendung wabak covid19. Biarlah antara rahsia kejayaan yang enak dibawa cerita kepada dunia, adalah salah satunya yang utama dengan kembali dibuka masjid sebagai syiar penting Agama Islam. Menteri Agama, para mufti dan KKM kembalilah duduk berbincang tentang hal ini. SOP bagaimana yang hendak diterapkan pasti dipatuhi oleh rakyat marhein seperti kami. Asalkan rumah Allah ini kembali diimarahkan.

6- Pemuda Amanah Negeri Perak mencadangkan agar kajian dibuat untuk membenarkan solat Jumaat seminggu sekali dilakukan di kawasan yang telah mencapai zon hijau dan selamat. Seterusnya jika keadaan sesuai dan mengizinkan, kebenaran berjemaah dan berterawih dengan bilangan had dan SOP tertentu dapat dimulakan. Keseimbangan antara memahami fiqh waqie’ amat diperlukan. Masjid boleh menyediakan alat pengukur suhu dan prosedur alatan/
tempat menjaga kebersihan (satinizer) yang sesuai.

7- Semoga bulan mulia Ramadhan ini membawa khabar gembira buat ahlinya.

Ahmad Saqif Ansorullah
Biro Dakwah Pemuda Amanah Negeri Perak