IPOH | Ketua Pembangkang yang juga ADUN Tebing Tinggi, Prof Dr Abdul Aziz Bari mendakwa kekecohan yang berlaku pada Sidang Dewan Undangan Negeri Perak hari ini bermula apabila Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu meminta aturan mesyuarat diketepikan dan Yang Di-Pertua Dewan, Datuk Ngeh Koo Ham meletak jawatan.
Menurut Aziz dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas sidang Dewan Negeri selesai hari ini, Ngeh Koo Ham telahpun mengumumkan akan berbuat demikian secara terhormat. Kemudian Ahmad Faizal meminta kesemua 35 ADUN yang menyokong pentadbiran Perikatan Nasional menyatakan sokongan dan mengarahkan Bentara Dewan membawa keluar Koo Ham dengan segera.
Rakaman video yang dikongsikan kepada wartawan Independent menunjukkan berlaku kekecohan di hadapan meja Ngeh berada di mana beberapa petugas mengerumuni beliau seperti mahu bertindak menghalau Ngeh keluar Dewan.
“Ngeh mengingatkan Bentara bahawa beliau masih lagi Yang Di-Pertua Dewan dan satu-satunya pihak yang berkuasa mengeluarkan arahan.
“Setelah beberapa lama akhirnya mereka akur dan berundur. Selepas itu barulah Ngeh sempat meletak jawatan,” menurut kenyataan itu.
Aziz juga berkata insiden tersebut amat memalukan terutama dalam keadaan rakyat di luar sedang bergelut dengan keperitan hidup akibat pandemik.
“Seorang Menteri Besar tidak harus bertindak demikian. Sikap gelojoh, gila kuasa dan tidak sabar semacam memberi gambaran betapa pentadbiran yang ada tidak peduli peraturan ketertiban apalagi dalam keadaan pihak Yang Di-Pertua sedia melepaskan jawatan,” menurut Aziz lagi.
Aziz juga mendakwa PN mencemari kedudukan neutral perkhidmatan awam demi kepentingan peribadi dan Menteri Besar wahar meminta maaf kepada rakyat & institusi Dewan Negeri atas tingkah laku yang menjatuhkan martabat Dewan Negeri Perak.