Koronavirus: Perak Kembali Catat Kes Baru

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Perak kembali mencatatkan kes koronavirus dengan dua kes terbaharu, hari ini membabitkan dua beradik dari Sitiawan, menurut laporan Harian Metro.

Dua kes berkenaan dilaporkan selepas 10 hari negeri terbabit bebas daripada kes aktif wabak.

Pengarah Jabatan Kesihatan Perak Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, dua beradik berkenaan adalah warga tempatan berusia 29 dan 30 tahun.

“Kes pertama dikesan melalui ujian saringan sebelum dia kembali bekerja manakala kes kedua pula melalui aktiviti pengesanan kontak rapat bagi kes pertama.

“Kedua-dua kes tiada bergejala dan punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya ringkas ketika dihubungi, hari ini.

Pada 30 April lalu, media melaporkan Perak negeri bebas daripada kes aktif Covid-19 selepas dua pesakit terakhir yang dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, sembuh dan dibenarkan keluar pada 29 April lalu.