Srikandi Bahagian K. Kangsar Turun Bantu Mangsa Banjir, Ribut

Reading Time: < 1 minute

KUALA KANGSAR | Srikandi Bersatu Kuala Kangsar telah mengadakan program Mahabbah Kasih bagi membantu mangsa banjir dan ribut di beberapa buah kampung yang terkesan bencana itu pada Selasa.

Program turun padang yang dipimpin oleh Ketua Srikandi Bahagian Kuala Kangsar, Shahnoor Zahurin bt. Hj. Mohd Haslan Myudin turut disertai Armada Bersatu Bahagian Kuala Kangsar dan Team Sukarelawan Badan Pimpinan Negeri Perak bersama Ahli Jawatankuasa Bahagian Kuala Kangsar.

Sejumlah set tilam Toto dan bantal berserta kotak bantuan makanan dihulurkan untuk keluarga mangsa banjir dan ribut yang telah merosakkan struktur beberapa buah rumah penduduk kampung. Antara kampung yang terkesan ialah Kampung Sg Siput, Chandan Puteri (4 buah rumah), Jerlun (dua rumah), Padang Changkat (dua rumah) dan Kampung Jenalik (dua rumah).

Ketua Bahagian Bersatu Kuala Kangsar, Dato Iskandar Dzulkarnain bin Abdul Khalid turut serta memberi sumbangan kepada mangsa.

Menurut Zahurin, beliau merasa bersyukur apabila melihat senyuman terpancar di wajah penerima bantuan dan berharap ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban mangsa bencana itu.

“Alhamdulillah syukur melihat senyuman terukir di wajah mereka yang terkesan akibat bencana ini setidak-tidaknya dapat meringankan beban mereka.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Dato’ Iskandar selaku Ketua Bahagian Kuala Kangsar atas sumbangan yang bermakna ini dan tidak lupa tahniah kepada semua yang terlibat dalam program ini,” kata Zahurin.