Majlis Setiausaha Pakatan Harapan hari ini menggesa agar usaha untuk mengembalikan politik berasaskan kaum dihentikan segera.
Bercakap menerusi satu kenyataan bersama, tiga pemimpin utama Harapan memberikan bayangan yang usaha itu cuba dilaksanakan dengan mengenepikan DAP dan Parti Amanah Negara dalam kerajaan.
Mereka mendakwa usaha itu dipelopori Anggota Parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein bersama beberapa pihak lain.
“Hishammuddin dalam penulisan dan wawancaranya memberi isyarat yang cenderung untuk kembali kepada politik dan pentadbiran berasaskan kaum.
“Ini adalah amalan politik usang yang bercanggah sama sekali dengan politik inklusif yang dipelopori PH,” kata kenyataan itu.
Ia ditandatangani Ketua Setiausaha Harapan, Saifuddin Abdullah; Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution Ismail; Setiausaha Agung Bersatu, Marzuki Yahya; Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir; dan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke.
Terdahulu semasa berucap di Dewan Rakyat, Presiden KEADILAN, Anwar Ibrahim turut menyentuh mengenai usaha tersebut oleh Hishammuddin.
“Ini masalahnya nak ikut sangat Sembrong… semua karut.
“Semua ini kadang-kadang nak survive diri, nak tutup siasatan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia). Kita tak mahu itu.
“Politik ini bukan kerana ugutan, (tapi) mesti ada prinsip, sama ada didakwa di mahkamah atau diugut masuk penjara, prinsip jangan digadai. Beritahu Sembrong,” katanya.
Menurut kenyatan bersama itu lagi, pada 7 Jan 2018, Harapan menggariskan beberapa teras yang menjadi faktor Harapan menolak politik perkauman BN.
“Itulah asas kepada mandat yang telah diberikan rakyat pada PRU ke-14 dan amanah itu tidak wajar dicagarkan demi kepentingan politik,” kata mereka.
Sumber: Keadilan Daily