Sultan Nazrin Akan Rasmi Sidang DUN Ke-14

Reading Time: < 1 minute

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah akan merasmikan Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 pada Ogos nanti.

Menurut Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu, pada persidangan itu nanti kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) diberi peluang membahaskan titah ucapan baginda Sultan.

“Persidangan kali ini juga akan dijadikan medium bagi merealisasikan Manifesto Pakatan Harapan (PH) negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Dalam Manifesto PRU14, kita telah menjanjikan lima teras utama manifesto termasuk soal kebajikan ekonomi rakyat dan 10 dasar tumpuan.

“Pakatan Harapan juga akan melaksanakan janji-janji daripada 31 janji yang ditawarkan kepada rakyat termasuk pemberian air percuma kepada golongan sasar,” katanya kepada pemberita selepas sesi sidang DUN di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Selasa.

Terdahulu seramai 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak telah mengangkat sumpah jawatan di hadapan Speaker DUN yang baharu dilantik, Datuk Ngeh Koo Ham. Upacara mengangkat sumpah didahului Menteri Besar Perak, yang juga ADUN Chenderiang, Ahmad Faizal Azumu diikuti 10 Exco Kerajaan Negeri sebelum disusuli oleh semua ADUN Pakatan Harapan (PH) lain.

Selepas penyempurnaan majlis, DUN kemudiannya ditangguhkan ke suatu tarikh yang bakal ditetapkan kemudian. Ngeh menasihati kesemua ADUN mematuhi dan memahami segala peraturan mesyuarat dan undang-undang tubuh kerajaan negeri.

PH berjaya mendapat mandat membentuk kerajaan negeri selepas Nolee dan ADUN Sungai Manik, Zainol Fadzi Paharudin mengumumkan keluar daripada UMNO dan BN serta menyatakan sokongan kepada PH.

Ia menjadikan DUN Perak kini, 30 kerusi diduduki wakil PH, 25 BN, 3 milik Pas, dan seorang wakil bebas.
Dalam komposisi PH, 18 kerusi dimiliki DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) enam kerusi, PKR empat kerusi serta dua dimiliki Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).