Sultan Nazrin berkenan rasmi bangunan LKIM Perak yang baharu

Reading Time: < 1 minute

MANJUNG, 26 Ogos — Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat merasmikan Bangunan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Perak yang baharu di sini hari ini.

Keberangkatan tiba baginda pada kira-kira pukul 10 pagi disambut Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Sim Tze Tzin serta barisan exco kerajaan negeri.

Turut berangkat Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Dihilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah, Raja Puan Besar Perak Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak Tuanku Soraya Sultan Abdul Halim.

Sultan Nazrin kemudian berkenan menyaksikan tayangan montaj, menandatangani plak perasmian dan melawat pameran.

Perancangan pembinaan bangunan baharu pejabat LKIM yang terletak di Seri Manjung bermula pada April 2011.

Blok bangunan pejabat tiga tingkat itu dilengkapi pelbagai fasiliti seperti dewan serbaguna, kafetaria, tujuh unit ruang letak kereta berbumbung serta 50 unit ruang letak kereta tidak berbumbung.

Bangunan yang siap sepenuhnya pada 1 Jan 2015 itu dilengkapi ruang pejabat yang mampu memuatkan lebih 50 orang staf.

— BERNAMA