IPOH | Semua wakil parti dari UMNO, PKR, DAP dan Amanah selesai mengadap Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta pagi ini.
Wakil PKR, Mohd Farhash Wafa Salvador dilihat menaiki kenderaan bersama wakil DAP iaitu Nga Kor Ming manakala wakil rakyat dari Amanah Asmuni Awi dilihat menaiki kenderaan berasingan dan yang pertama meninggalkan istana pada kira-kira 11.40 pagi diikuti oleh kenderaan yang dinaiki Farhash dan Nga Kor Ming. Mereka sempat melambaikan tangan kepada petugas media.
ADUN Kota Tampan yang merupakan Pengerusi UMNO Perak Dato Saarani menyusul memasuki istana dengan kenderaan sejurus selepas kenderaan Farhash dan Nga keluar.
Menurut sumber dari istana, yang merupakan Ahli Dewan Negara Datuk Seri Anuar Zaini, selepas mendengar pandangan dari semua wakil parti, Sultan Nazrin menasihatkan kepada pemimpin parti untuk mencari formula terbaik supaya mereka dapat menubuhkan kerajaan baru di negeri Perak.
Beliau turut memberitahu bahawa Presiden UMNO Datuk Seri Dr Zahid Hamidi akan mengadap Sultan Perak di istana Kinta pada jam 10 pagi esok (Ahad).
Buat masa ini, Perak masih belum mempunyai Menteri Besar yang baru selepas penjawat jawatan itu sebelum ini, Dato’ Seri Ahmad Faizal digulingkan melalui undi percaya. Beliau gagal memperolehi sokongan majoriti dalam undi yang dijalankan semasa sidang dewan negeri pada Jumaat lalu.