KULAI, 4 Dis (BERNAMA) | Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor telah mengenal pasti dan akan menahan seorang pengurus sebuah syarikat pembekalan daging sejuk beku yang diserbu pihak berkuasa pada Rabu lepas dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.
Pegawai Kastam Kanan Bahagian Penguatkuasaan Johor Khalik Drahman berkata pengurus lelaki warga tempatan berusia 40-an itu akan ditahan di bawah Akta Kastam 1967 kerana kesalahan mengangkut barang-barang yang gagal dikemukakan dokumen import sah semasa pemeriksaan.
“Kami juga akan sita tiga lori penyimpanan daging sejuk beku dan ayam tidak mempunyai logo halal hari ini manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan merampas daging yang ada logol halal,” katanya pada sidang media di sebuah gudang syarikat daging sejuk beku di sini.
Khalik berkata hasil siasatan awal mendapati syarikat tersebut menyeludup pelbagai jenis daging termasuk ayam dan itik dari China, Brazil, Australia, Ukraine dan Argentina.
Dalam pada itu, Khalik tidak menolak kemungkinan penglibatan pihak lain dalam kegiatan berkenaan kerana pasaran produk tersebut agak besar di Malaysia.
“Syarikat ini menggunakan pembungkusan semula produk di Australia…mungkin mereka bungkus semula untuk naikkan harga kerana harga produk Australia mahal dan orang ramai yakin dengan produk negara itu…cuma pembungkusan asal dari mana daging itu berasal masih belum ditemui,” katanya.
Katanya, kesemua daging itu akan dihantar ke makmal Jabatan Kimia bagi mengenal pasti jenis daging sebelum tindakan lanjut.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Tosrin Jarvanthi berkata kerajaan negeri akan mengadakan satu mesyuarat khas pada Isnin ini bagi membincangkan isu penyeludupan daging sejuk beku sebelum membungkus semula dengan logo halal palsu.
Mesyuarat akan melibatkan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Majlis Halal Negeri Johor dan pihak yang berkenaan, katanya selepas meninjau gudang syarikat pembekalan daging sejuk beku yang diserbu di Taman Perindustrian Senai pada 2 Dis lepas, hari ini.
Sementara itu, Tosrin yang juga Pengerusi Majlis Halal Negeri Johor berkata satu aplikasi direktori halal juga akan dirangka dan dilancarkan pada Mac 2021.
Rabu lepas, sebuah gudang syarikat daging sejuk beku di Taman Perindustrian Senai diserbu pihak berkuasa hasil risikan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan menyeludup daging sejuk beku.
Kartel berkenaan dipercayai menjadikan sebuah gudang di Senai sebagai lokasi untuk membuat label dan cap palsu yang kemudiannya akan ditampal pada kotak daging yang telah dibungkus semula itu.