Syarikat Pembekal Ayam Diberi Tempoh Dua Bulan Selesai Masalah Lalat

Reading Time: 2 minutes

IPOH | Syarikat penternakan ayam Dindings Poultry di Segari diberi tempoh selama dua bulan untuk menyelesaikan masalah gangguan lalat yang diadukan oleh penduduk sekitar Segari pada bulan lepas.

Syarikat tersebut yang membekalkan stok ayam setiap hari diarah mengambil langkah kawalan dengan menyembur racun untuk membunuh larva lalat di ladang ternakan ayam mereka. Demikian menurut Pengarah Perkhidmatan Veterinar Negeri Perak, Dr. Ahmad Shafri bin Hassan semasa bercakap kepada wartawan di sidang media bersama EXCO Pertanian, Perladangan dan Penternakan, Dato’ Abdul Yunus Jamahri di Ipoh hari ini.

Sidang media itu diadakan selepas selesai majlis sambutan Hari Bertemu Pelanggan dan Penyerahan Bantuan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Perak bagi tahun 2019 di perkarangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Perak di Jalan Sultan Azlan Shah (U), Ipoh.

Majlis Penyerahan Bantuan yang berjumlah RM1.3 juta dalam bentuk plakad kepada penerima yang layak disempurnakan oleh Dato’ Abdul Yunus Jamahri.

Menurutnya lagi, syarikat Dindings Poultry telah menerima cadangan Jabatan Veterinar untuk melaksanakan langkah kawalan tersebut dan bahan kimia yang digunakan telah terbukti berkesan untuk membunuh semua larva lalat yang ada.

“Kita dah gariskan tindakan yang akan dibuat dan kita akan memantau dari segi pengeluaran ayam Dindings Poultry.

“Dia kena menggunakan racun larva untuk tempoh 12 hingga 15 hari pertama, jadi sepanjang tempoh 30 hingga 35 hari itu, dia kena gunakan dua kali semburan racun larva,” kata Ahmad Shafri.

Beliau meletakkan harapan dengan tindakan jangka pendek ini gangguan lalat ini akan berkurangan di masa akan hadapan.

Menyentuh berkenaan tindakan jangka panjang, beliau berkata pihak jabatan lebih menjurus kepada tindakan perundangan di mana kadar kompaun maksima yang bakal dikenakan terhadap syarikat yang tidak mematuhi peraturan akan dinaikkan sehingga RM20,000 berbanding RM2,000 pada waktu ini. Bagaimanapun, ia masih perlu dikemukakan kepada Dewan Undangan Negeri untuk mendapatkan kelulusan.