Lebih 20 Nelayan Darat Kampung Pisang Berdepan Masa Depan Gelap

Reading Time: 2 minutes

BATU GAJAH | Lebih 20 nelayan darat yang selama ini bergantung hidup mencari nafkah menjaring ikan di beberapa buah lombong tinggal di kawasan Kampung Pisang bakal berdepan masa depan yang gelap.

Mereka kini hidup dalam keresahan apabila tempat mereka bergantung hidup menjaring pelbagai spesies ikan darat di lebih enam buah lombong tinggal selama hampir 29 tahun sudah dipagar dan diusahakan oleh pengusaha-pengusaha ikan tertentu.

Yang menimbulkan persoalan mereka masih terdapat dua tiga kawasan lombong yang tidak berpagar namun pengusahanya mendakwa sudah mendapat kelulusan sewaan tanah daripada kerajaan negeri.

Mohd Haris Noor

“Pengusaha-pengusaha ikan ini khabarnya terdiri daripada pengusaha luar … mereka memberikan pelbagai alasan semata-mata untuk melarang kami nelayan darat di sini untuk datang menjaring ikan di sini.

“Kami tiada tempat lain lagi untuk bergantung hidup mencari pendapatan menjual hasil jaringan ikan dan kalau beginilah keadaannya di mana lagi kami hendak mencari rezeki?,’’ kata seorang nelayan darat, Mohd Haris Noor, 58.

Menurut Haris sudah 29 tahun beliau sudah menjaring ikan di lombong-lombong berkenaan untuk membesarkan 11 orang anaknya namun kini beliau terpaksa mencari punca pendapatan lain untuk menanggung keluarganya.

Beliau turut hairan seolah-olah terdapat kegiatan yang mencurigakan di beberapa kawasan bekas lombong berkenaan kerana wujud kegiatan menolak pasir menggunakan jentolak dan lori hantu.

“Seorang penjaga lombong yang datang menyergah saya melarang menjaring di kawasan lombong mendakwa tanah lombong ini sudah dimiliki majikannya hasil kelulusan dari kerajaan negeri dan siapapun tidak dibenarkan menjaring atau memancing ikan di sini.

“Saya menjawab kalau benar lombong ini sudah berpunya kenapa ia tidak berpagar sedangkan di depan mata saya berlaku kegiatan menolak pasir menggunakan jentolak di kawasan berhampiran lombong secara terbuka.

“Selagi kawasan lombong ini tidak berpagar siapapun boleh datang menjaring dan memancing ikan di sini,’’ kata Mohd  Haris kepada wartawan Indepedent.

Pagar berkawat yang dibina untuk menghalang nelayan menangkap ikan

Justeru Haris meminta pihak berkuasa berkenaan melihat perkara ini kerana ia melibatkan kawasan tanah pasir lombong bagi memastikan tiada kegiatan penyelewengan berlaku di kawasan tanah-tanah lombong berkenaan.

Haris seterusnya berkata, jika dahulu sekitar awal 80-an sehingga 90-an beliau beroleh pendapatan RM200 sehari hasil jualan ikan darat tapi kini mahu mendapat RM50 seharipun semakin sukar apatah lagi banyak kawasan lombong sudah berpagar dimiliki pengusaha ikan yang difahamkan terdiri daripada orang luar.

Beliau merayu kepada kerajaan negeri supaya memberi perhatian serius terhadap masalah yang dihadapi beliau serta rakan nelayan darat di sini untuk meneruskan kesinambungan hidup.

“Kami merayu kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu datang menjenguk kami nelayan darat Kampung Pisang di sini untuk membantu  meringankan beban hidup kami,’’ katanya.