Farhash: Ibarat `Menumpang di Rumah Sendiri’

Reading Time: 2 minutes

KUALA KANGSAR: Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menzahirkan kekesalan beliau apabila berasa seolah olah `menumpang di rumah sendiri’.

Katanya, pimpinan sama ada di peringkat negeri dan pusat harus mempunyai koordinasi dan komunikasi yang baik kepada ahli-ahli di peringkat bawah.

“PKR telah lama berjuang di Perak. Tetapi kadang-kadang ada rasa macam menumpang di rumah sendiri.

“Namun pada saya, pemimpin di peringkat pusat dan negeri harus mempunyai koordinasi dan komunikasi yang baik.

“Sekarang ini ia agak kurang. Bukan sahaja PKR malah saya berpandangan rakan-rakan komponen parti lain juga merasakan yang sama,’’ katanya semasa berucap pada Konvensyen Keadilan Perak di Dewan Jubli Perak, malam tadi.

Farhash turut menyangkal dakwaan sesetengah pihak kononnya PKR sedang bergolak besar.

Beliau menegaskan, pada keseluruhannya kesemua ahli bersatu-padu bersama parti dan menyokong kepimpinan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau turut menyelar secara sinis tindakan segelintir ahli parti yang berada dalam keadaan kepura-puraan.

Tanpa menyebut individu terbabit secara jelas, beliau berkata ada segelintir ahli yang menyertai PKR mengutamakan idealisme peribadi berbanding idealisme parti.

“Kadang-kala ada yang masuk parti ini bukan mahu angkat idealisme parti dan bukan mahu membantu kesusahan rakyat. Sepatutnya kesusahan rakyat adalah kesusahan kita juga.

“Itu yang saya sebutkan dengan kepura-puraan. Saya rasa rakyat boleh menilai siapa yang saya maksudkan itu.

“Dalam perjuangan ini akan ada ‘Abu Bakar’ dan ‘Abu Jahal’. Terserah pada ahli untuk berada di sisi siapa,” katanya kepada pemberita pada sidang media media selepas Konvensyen Keadilan Perak.

Beliau seterusnya berkata, kehadiran lebih 4,000 ahli perwakilan Perak di konvensyen tersebut jelas membuktikan bahawa PKR sentiasa kuat dan terus mantap dan tidak seperti yang digembar gemburkan oleh sesetengah pihak.