Anwar Minta Semua Pihak Henti Telahan PKR Lemah, Pecah-Belah 

Reading Time: 2 minutes

KUALA KANGSAR | Datuk Seri Anwar Ibrahim minta semua pihak berhenti menguji kesabaran beliau dengan membuat spekulasi kononnya parti itu lemah dan berpecah belah.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu juga mengingatkan pemimpin-pemimpin parti politik tidak memberi gambaran negatif mengenai parti sebaliknya berusaha membina kemantapan parti.

Katanya, selama ini beliau bersabar dengan apa juga pendapat dan pandangan baik di peringkat pemimpin mahupun akar umbi kerana memikirkan setiap orang mempunyai hak bersuara.

“Ada yang cakap Anwar ini lemah, sabar sangat bak kata Shamsul Iskandar (Ketua Penerangan, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin), sabar Anwar tahap dewa. Ya, saya sabar tapi jangan uji saya.

“Jika kesabaran itu hingga memberi gambaran parti berpecah belah dan lemah, saya tak boleh (sabar),’’ kata Anwar semasa berucap pada Konvensyen Keadilan Perak di Dewan Jubli Perak malam tadi.

Katanya, pemimpin-pemimpin parti politik juga perlu diingat agar tidak memberi gambaran negatif mengenai parti, sebaliknya bersama membina kekuatan parti.

“Orang nak tengok perkara negatif ini di mana-mana sahaja yang penting sama ada kita setuju atau tidak bersetuju.

“Selagi saya presiden, tanggungjawab saya membina kekuatan parti dan hormat suara akar umbi,’’ katanya.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson penuh yakin Kongres Nasional PKR yang berlangsung di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) mulai 5 hingga 8 Disember ini akan memberikan gambaran sokongan sebenar ahli kepada parti itu.

Menurut beliau, kehadiran ahli-ahli dari pelbagai kaum akan mencipta sejarah baru atas perjuangan keadilan.

 “Ini harapan saya dan saya yakin apa juga orang cakap atau telahan dibuat, saudara semua datang kongres nanti akan dapat lihat parti yang bersatu dan jauh lebih kuat daripada sebelum ini,” katanya.

Konvensyen itu dihadiri lebih 4,000 ahli. Turut dihadiri Naib Presiden PKR, Datuk Dr Xavier Jayakumar; Ketua Penerangan, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin dan Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Semua 24 Ketua Cabang PKR di Perak hadir kecuali Ketua Cabang Parit Buntar, Datuk Abdul Yunus Jamhari dan Datuk Abdul Hadi Abdul Khatab (Tanjung Malim) atas masalah keluarga.