Perpindahan SU Kerajaan Negeri Bukan Diputuskan Oleh MB

Reading Time: < 1 minute

Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Zainal Azman Abu Seman yang baru berkhidmat 13 bulan ditukarkan ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di Putrajaya mulai Ahad lepas.

Menurut Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu, pertukaran itu terletak di bawah bidang kuasa Ketua Setiausaha Negara (KSN), Dr Ismail Bakar, dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Mohd Khairul Adib Abd Rahman dan bukannya diputuskan beliau.

“Saya percaya soalan perlu ditujukan kepada KSN dan KPPA,” katanya ringkas ketika diminta mengulas mengenai isu berkenaan selepas menghadiri Majlis Pelancaran Skills Malaysia 2.0 yang disempurnakan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Ipoh di Ipoh, Perak, hari ini.

Semalam, Zainal Azman ketika dihubungi oleh agensi berita Bernama mengesahkan beliau menerima surat arahan pertukaran ke Jawatan Penempatan Khas di JPA pada Jumaat lepas.

Zainal Azman memegang jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak sejak 18 Okt tahun lepas, menggantikan Mohd Ghazali Jalal yang bersara.